Kerajaan mengumumkan pengurangan tambang perkhidmatan tren Skypark Link daripada RM10 kepada RM3.50 sehala, iaitu penjimatan sebanyak 64%.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, rasionalisasi berkenaan merupakan pelarasan tambang perkhidmatan tren ekspres kepada kadar tambang perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang.

Katanya, potongan sebanyak 50% juga diberikan bagi kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mensasarkan 3,000 penumpang sehari yang menggunakan perkhidmatan tren Skypark Link pada 2023,” katanya sempena pelancaran perkhidmatan Skypark Link KL Sentral ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini.

Wee berkata, perkhidmatan Skypark Link akan beroperasi dengan 32 perkhidmatan sehari dan kekerapan antara 30 minit hingga 60 minit antara laluan Stesen KL Sentral, Stesen Subang Jaya dan Stesen Terminal Skypark.

“Masa perjalanan sehala dari Stesen KL Sentral ke Stesen Terminal Skypark hanya mengambil masa 37 minit sahaja,” katanya.

Pandemik Covid-19 menyebabkan perkhidmatan tren itu digantung sementara bermula 31 Mac 2020 dan kembali beroperasi pada 15 Okt tahun lepas.

- Free Malaysia Today -