Malaysia pastinya menyasarkan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan untuk mencapai tujuan tersebut, pelbagai dasar telah dirangka. Namun, salah satu kunci untuk mencapai sasaran ini ialah penglibatan daripada golongan wanita.

Pada tarikh 8 Jun 2022, media melaporkan sikap majikan mengamalkan diskriminasi gender menyebabkan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita meningkat 39 peratus meskipun golongan perempuan paling banyak mendominasi bilangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini setiap tahun.

Perangkaan semasa menunjukkan 5.83 juta wanita bekerja dalam sektor pekerjaan berbanding 9.13 juta lelaki.

Masyarakat secara umumnya sering merendahkan pencapaian wanita sehingga wujudnya diksriminasi atau ketidakseimbangan gender dalam bidang pekerjaan.

Mungkin ada yang beranggapan golongan wanita ini tidak diterima kerana akan mengambil cuti bersalin atau hal-hal berkaitan keluarga dan anak-anak. Namun, itulah kekangan atau limitasi yang perlu dilalui oleh setiap majikan yang memerlukan perkhidmatan, sumbangan dan bakat golongan wanita ini.

Kekangan atau limitasi yang dihadapi oleh wanita itu perlu diatasi dengan bijak oleh pihak majikan tanpa mengambil jalan mudah - tidak mahu mengambil pekerja wanita sehingga timbulnya isu diskriminasi gender.

MCA amat berharap kerajaan akan melaksanakan penetapan kuota pengambilan pekerja wanita bagi mengurangkan jurang jantina dalam sektor tenaga buruh. Kita tidak boleh menafikan bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja akhirnya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

Jika perkara ini diteruskan, sasaran untuk Malaysia menuju negara maju akan sedikit perlahan kerana pemerkasaan wanita mempunyai potensi untuk membuka peluang menambah pendapatan negara.

Tee Hooi Ling
Ketua Wanita MCA Selangor
9 Jun 2022

-MCA Online