Laporan media berhubung harga barangan keperluan yang dijangka meningkat sehingga 60 peratus pada bulan depan pastinya membimbangkan dan meresahkan rakyat.

Pelbagai faktor dikatakan menyumbang kepada kenaikan harga ini, antaranya, kurang penawaran bekalan makanan berbanding permintaan.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan Malaysia sedang mengalami fenomena “lebihan wang” susulan pengeluaran wang KWSP serta pakej-pakej rangsangan, menyebabkan orang ramai ketika ini mempunyai banyak wang tunai dalam tangan.

Golongan peniaga yang tamak pastinya akan mengambil kesempatan untuk mencari untung dengan mengeksploitasi lebihan wang di tangan pembeli, apatah lagi dalam musim perayaan ketika ini.

Faktor lain yang dikaitkan ialah pelaksanaan gaji minimun RM1,500 sebulan yang menyebabkan kuasa beli meningkat, lantas peniaga yang tidak beretika mengambil peluang untuk mengaut untung lebih.

Selain itu, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2% menandakan kemungkinan inflasi serta menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan.

Sebenarnya, rakyat sudah mula 'berbunyi' mengenai kenaikan harga barang ini sejak bulan Ramadan lalu apabila harga ayam, daging dan sayur naik dengan mendadak.

Namun, tidak dinafikan, walau setinggi mana harga dinaikkan, rakyat tetap akan membuat pembelian kerana ini melibatkan barangan keperluan harian.

Pihak kementerian dan berkuasa yang terlibat perlu memainkan tanggungjawab dalam memperkasakan pemantauan di pasar raya atau kedai-kedai supaya tidak ada peniaga yang akan menaikkan harga barangan sesuka hati.

Kerajaan juga perlu bijak menangani masalah ini kerana kita tidak mahu dilabel sebagai 'kerajaan gagal' oleh rakyat tatkala mereka memerlukan bantuan selepas kita semua 'berperang' dengan penularan COVID-19 dan kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu menyiasat setiap kes kenaikan harga barang yang melampau secara terperinci bagi mengelak aktiviti pencatutan yang sekaligus membeban dan menyusahkan rakyat.

Di samping itu, Malaysia juga mempunyai undang-undang yang melindungi hak pengguna seperti Akta Kawalan Harga 1946, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

MCA mengingatkan orang ramai agar lebih peka tentang hak masing-masing sebagai pengguna dan melengkapkan diri mereka dengan ilmu kepenggunaan. Orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk membantu membanteras kegiatan tidak beretika para peniaga yang tamak ini.

Para peniaga pula diingatkan untuk tidak menaikkan harga jualan berkali ganda dengan sewenang-wenangnya demi meraih keuntungan melampau kerana jika perkara itu berlaku, anda boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 untuk suatu perbadanan atau syarikat.

Manakala bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya bersabit kesalahan.

Saw Yee Fung
Jurucakap MCA
19 Mei 2022