Lebih tiga juta telur nyamuk aedes berwolbachia bakal dilepaskan menerusi projek rintis nyamuk aedes berkenaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas di sini, dalam usaha kerajaan negeri mengurangkan kes denggi di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata projek rintis berkenaan yang akan mengambil masa lebih dua tahun, akan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi melihat sejauh mana keberkesanan program berkenaan.

Beliau berkata dengan pelepasan telur nyamuk aedes berkenaan, nyamuk aedes berwolbachia jantan dan betina yang dilepaskan akan mengawan dengan nyamuk aedes liar, menjadikan populasi nyamuk aedes berwolbachia yang banyak sekali gus menyekat penularan virus demam denggi.

“Projek ini telah dilaksanakan sebelum ini di Pulau Pinang dan Selangor, telah terbukti berjaya mengurangkan sebanyak 40 peratus kes denggi di negeri-negeri tersebut. 

“PPR Kempas dipilih memandangkan ia juga satu daripada hotspot denggi dalam Johor Bahru, selain daerah Johor Bahru juga mencatatkan kes tertinggi dalam negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran projek nyamuk aedes berwolbachia di PPR Kempas, di sini, hari ini.

Buat masa ini, beliau berkata setiap 14 siri pelepasan telur nyamuk aedes itu melibatkan 222,500 biji telur dengan anggaran kos 45 sen setiap biji.

“Kita akan buat kajian dulu, (selepas itu) kita akan mencadangkan projek nyamuk aedes berwolbachia ini dilaksanakan di kawasan hotspot denggi,” kata Ling. 

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu.

Untuk tempoh 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini, kes kumulatif denggi menunjukkan penurunan sebanyak 41.2 peratus kepada 566 kes berbanding 963 kes.

Bagaimanapun, bagi minggu Epid 19 tahun ini, sebanyak 57 kes demam denggi dilaporkan berbanding 31 kes pada Minggu Epid 18 tahun ini, dengan daerah Johor Bahru mencatatkan kes paling tinggi iaitu 22 kes.

-- BERNAMA