Peruntukan RM6.05 bilion diterima Kementerian Pengangkutan dalam Belanjawan 2021 yang meningkat 67.47 peratus berbanding tahun sebelumnya, membuktikan komitmen kerajaan mengukuhkan sistem pengangkutan negara demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata projek infra-rakyat berskala besar yang turut diberi penekanan dalam Belanjawan 2021 mampu memberi manfaat langsung bagi mencipta peluang pekerjaan baharu disamping mengukuhkan sistem pengangkutan negara.

Katanya, pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap pada suku kedua 2023, akan melengkapkan laluan landasan berkembar di bahagian Pantai Barat Semenanjung, meliputi bahagian utara, tengah dan selatan negara dari Johor Bahru sehingga Padang Besar sejauh 974 kilometer.

"Projek ini akan meningkatkan kapasiti pengangkutan apabila menggunakan kereta api yang kos bahan bakarnya lebih murah serta meningkatkan jumlah penumpang secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) dari Johor Bahru ke Woodlands, Singapura yang berfungsi sebagai sistem pengangkutan ulang-alik yang mudah pula, akan menawarkan kos lebih efektif kepada penggunanya.

"Kapasiti RTS Link dijangka mencapai 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap perjalanan. Ia sekali gus merancakkan ekonomi setempat serta berkembang dengan baik, manakala peluang pekerjaan baharu dapat dicipta yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

"Misalnya RTS, apabila depoh dari Mandai, Singapura dipindahkan ke Stesen Wadi Hana, Johor Bahru maka rakyat kita dapat peluang pekerjaan baharu," katanya.

Menyentuh sektor pengangkutan udara yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19, Ka Siong berkata, program latihan dan penempatan semula disediakan bagi 8,000 kakitangan dari syarikat penerbangan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

"Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia sebagai penerima peruntukan bagi merancang program latihan dan penempatan semula kakitangan dari syarikat penerbangan yang terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya.

Bagi sektor pengangkutan awam, beliau berkata, statistik peratusan penumpang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu menunjukkan penurunan drastik iaitu bas, menurun sebanyak 91.63 peratus, komuter (89.25 peratus); Rapid Rail (95.09 peratus) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), 87.08 peratus.

"MOT dan agensi dibawahnya sudah mengambil beberapa langkah bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, seperti pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity," katanya.

Bagi perkhidmatan e-hailing dan gig ekonomi semakin berkembang, beliau berkata pengawalseliaan perkhidmatan e-hailing membawa manfaat sosio-ekonomi kepada rakyat, terutamanya kumpulan B40.

"Menerusi pengawalseliaan dan penetapan peraturan pelesenan, satu persekitaran perkhidmatan berdaya saing tinggi, kondusif dan selamat disediakan, bukan saja kepada syarikat, tetapi pekerja dan pelanggan. Peluang pekerjaan dapat disediakan dalam suasana yang mematuhi dan dilindungi oleh undang-undang.

"Golongan berpendapatan rendah terutamanya dalam kumpulan B40 akan berpeluang mendapat pekerjaan dalam industri yang terkawal seterusnya meningkatkan tahap sosio-ekonomi dan kualiti kehidupan mereka," katanya.

-Berita Harian-