"Bila-bila saja wisel ditiupkan, kita akan bersiap siaga dan pastikan orang-orang kita sudah turun di bawah dan mereka faham peranan mereka," kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Itu ungkapan Ka Siong ketika diminta mengulas berhubung sejauh mana persediaan MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dikatakan akan diadakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata jentera MCA perlu turun padang serta berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa tanpa menunggu pilihan raya.
"Apa yang penting adalah untuk mendampingi rakyat setiap masa, itu yang penting bukan tunggu masa pilihan raya baru kita turun," katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas melancarkan Kutipan Dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Dewan Heritage Kampus UTAR di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata setakat ini beliau belum mendapat sebarang maklumat ataupun panggilan mesyuarat berhubung PRN Johor.
"Saya rasa bagi MCA, kita berdepan dengan sama ada PRU (Pilihan Raya Umum) -15 atau PRN dimana-mana kita tetap mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang sama, tatacara kita adalah kita bersiap siaga kerana kita dah masuk tahun keempat.
"Bila dah masuk tahun keempat bila-bila masa akan berlakunya PRU ataupun PRN jadi tiada bezanya bulan depan ke atau tahun depan ke, kita tahu ia tidak akan menjangkau daripada pertengahan tahun depan," ujarnya.
Semalam media melaporkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad hari ini memberi bayangan PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi.
Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).
Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, 21 Disember tahun lalu. 
-Perak Kini-