MCA menjelaskan parti itu tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam melibatkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang disifatkan sebagai sangat sensitif.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan mendakwa, biarpun peruntukan itu tidak melibatkan masyarakat bukan Islam, namun pihaknya tidak berdiam diri apabila menerima maklumat mengenai kekhuatiran yang disuarakan oleh komuniti tersebut termasuk daripada golo­ngan muda.

“Apabila MCA menyuarakan pandangan, kita telah dikatakan sebagai anti-Islam atau campur tangan dalam hal ehwal agama Islam. Saya pun minta maaf kalau ada sesiapa yang tersinggung perasaan.

“Apa pun, niat MCA adalah baik iaitu untuk melihat rakyat negara ini hidup dalam keada­an bersatu padu serta aman dan damai. Pada kita, kepentingan negara adalah lebih pen­ting daripada segala-galanya.

“Oleh itu, kita harap semua parti politik dapat menumpukan kepada topik-topik yang mempunyai kebersamaan serta mempunyai nilai universal se­perti pembangunan ekonomi dan pendidikan. Sekiranya kita tumpukan perkara yang boleh menimbulkan kekhuatiran, ia boleh membawa kepada pecah-belah,” katanya.

Beliau demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Wanita MCA Perak di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.

-Utusan Malaysia-