21 Mei 2022

Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok (21-5-2022)

Bukankah Lim Guan Eng juga tergolong menteri bodoh yang disebut Tony Pua?

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mendakwa bahawa ‘tiada menteri yang cerdik di Malaysia, kerana orang yang cerdik biasanya menjauhkan diri dari politik’ sebagai meludah ke langit, akhirnya terkena kepada diri sendiri.

Hakikatnya, kata Chin Kok, rakyat benar-benar mengalami serta mengenali menteri-menteri bodoh ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.

“Saya nak tanya Pua,  adakah menteri-menteri DAP dahulu tergolong menteri bodoh yang disebutkannya, terutamanya Lim Guan Eng yang boleh tersalah titik perpuluhan itu?”

Chin Kok memberitahu, sepanjang pemerintahan PH selama 22 bulan, rakyat Malaysia benar-benar dikejutkan dengan kebodohan yang ditunjukkan melalui kenyataan dan dasar yang dibawa oleh Jemaah Menterinya, dari Perdana Menteri, Menteri Kewangan sehinggalah Menteri Pendidikan dan Menteri Komoditi Utama.

“Perdana Menteri, Tun Mahathir berkata manifesto bukan kitab suci; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tersalah letak titik perpuluhan sehingga mengumumkan angka baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang salah serta memberikan RM30 untuk merangsang ekonomi; Menteri Komoditi Utama, Teresa Kok meminta rakyat meminum minyak sawit untuk menyemarakkan industri berkaitan.

“Kemudian kita ada Menteri Pembangunan Usahawan, Dato’ Sri Mohd Redzuan yang taksub dengan projek kereta terbangnya; Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan timbalannya, Teo Nie Ching dengan dasar kasut hitam mereka; serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang bermain game pada waktu pejabat dan lain-lain. Tidakkah semua ini kelakuan bodoh Menteri-menteri? Kenapa Pua membisu ketika itu?”

Justeru, Chin Kok meminta Pua supaya sedar diri dan jangan meludah ke langit, pandai mengata orang tetapi menutup mata terhadap dasar-dasar PH yang bukan saja bodoh tetapi membazirkan wang rakyat.

“Saya menasihatkan Pua supaya jangan nak berlagak dan tunjuk pandai. Apa yang dia perlu buat sekarang ialah membuat satu buku baharu dengan menyenaraikan semua kata-kata dan tindakan bodoh menteri-menteri PH sebagai peringatan dan pengajaran kepada dirinya, agar dapat melaksanakan tugas sebagai Penasihat Dasar Setiausaha Agung DAP-jawatan yang baru diamanahkan kepadanya-dengan lebih baik, bukannya mencari publisiti murahan.”

-MCA online-