Kerajaan tidak mengeluarkan arahan menghentikan operasi perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing untuk perjalanan rentas daerah dan negeri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata kerajaan mensyaratkan perkhidmatan berkenaan perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, sepanjang tempoh PKP ini, pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepenuhnya berdasarkan kepada perkhidmatan penting.

"Pelaksanaan PKP adalah untuk mengawal pergerakan orang ramai termasuk individu yang menjadi penumpang.

"Justeru semua pemandu perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing perlu memastikan penumpang mempunyai kelulusan dan keperluan bawah skop yang dibenarkan sebelum ke lokasi yang memerlukan rentas sempadan, daerah atau negeri.

"Pemandu perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing juga perlu mendapatkan salinan dokumen kelulusan, sama ada menerusi salinan cetak atau salinan digital.

"Salinan berkenaan sebagai bukti dan kegunaan pemandu selepas menghantar penumpang ke lokasi yang memerlukan mereka merentas sempadan, daerah atau negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, salinan itu bertujuan mengelakkan kebenaran beroperasi kepada perkhidmatan pengangkutan awam diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab dan ingkar arahan PKP.

"Selain itu, kita tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab itu merentas sempadan bagi tujuan yang tidak dibenarkan, yang secara tidak langsung akan menggagalkan usaha kerajaan menangani COVID-19," katanya.

-Berita Harian-