22 Februari 2021

Kenyataan media Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie (22-2-2021)

Takziah atas pemergian Yap Yem Ming - kehilangan besar bagi wanita , parti dan negara 

Wanita MCA mengucapkan takziah kepada keluarga Yap Yem Ming yang telah meninggal dunia semalam. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada Wanita MCA, Parti dan masyarakat.

Yem Ming merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat serta Ketua Biro Pertubuhan Cina dan Hal Ehwal NGO Wanita MCA, peringkat Kebangsaan. Beliau juga adalah penyandang Bendahari Wanita MCA Selangor serta Ketua Wanita MCA Bahagian Selayang.

Sepanjang hayatnya, beliau amat aktif dan komited dalam politik dan khidmat masyarakat. Antara jawatan yang disandang termasuklah menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat Wanita MCA melebihi 20 tahun, 33 tahun sebagai Setiausaha Wanita MCA Selangor, hampir 40 tahun sebagai Setiausaha Eksekutif Wanita MCA Selangor, serta mengetuai Wanita MCA Bahagian Selayang semenjak 1982. Selain itu , beliau juga pernah dilantik sebagai ahli majlis daerah dan perbandaran dari 1984 hingga 2006, serta anggota Lembaga Pelawat Hospital Selayang dari 2007 hingga 2012.

Sdri Yem Ming merupakan seorang pemimpin yang rajin, prihatin, komited serta sentiasa memberikan yang terbaik. Beliau banyak menyumbang kepada kemajuan Wanita MCA Selangor dan juga di peringkat kebangsaan, serta pembangunan wanita dan komuniti setempat. Sifatnya yang tidak mengenal erti penat lelah menjadi contoh kepada seluruh ahli Wanita MCA dan parti secara keseluruhannya.

Sikapnya yang jujur, ikhlas, inklusif dan peramah menjadikan beliau amat dihormati dan disayangi oleh ramai ,  di dalam dan luar Parti, termasuk pelbagai pertubuhan Ngo wanita di negara ini. Oleh itu , pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada golongan wanita, Parti dan juga negara.

Wanita MCA akan sentiasa mengenang segala jasa, pengorbanan dan sumbangan Yap Yem Ming.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

-MCA online-