22 Februari 2021

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong

Vaksin COVID-19 bawa sinar, hentikan persepsi tidak tepat yang mengelirukan orang ramai

Semalam, tanggal 21 Februari 2021 pastinya menjadi detik bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia apabila kumpulan pertama vaksin untuk menangani wabak COVID-19 telah selamat tiba. Setelah lebih setahun negara 'berperang' dengan pandemik yang telah meragut lebih 1,000 nyawa ini, pastinya vaksin ini memberi sinar buat rakyat Malaysia.

Namun, disebalik keterujaan ini, masih ada perkara yang membimbangkan apabila terdapat golongan anti vaksin yang menolak sebarang vaksinasi yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa golongan anti vaksin ini membawa ancaman kepada dunia kerana fahaman mereka turut disebarkan kepada masyarakat serta orang sekeliling.

Pemuda MCA ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil suntikan vaksin kerana ia mampu mencegah diri kita daripada dijangkiti oleh wabak COVID-19. Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti negara luar yang mencatatkan peningkatan penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa secara mendadak.

Orang ramai juga tidak perlu khuatir kerana vaksin yang diperoleh Malaysia ini adalah selamat untuk digunakan, malah ianya telah diuji terhadap puluhan ribu penerima sebelum diluluskan. Tiada bukti yang dapat mengesahkan vaksin ini memudaratkan nyawa, kesihatan, mahupun mengubah DNA penerima.

Dalam masa sama, kami juga menyeru orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan melayari laman web http://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19. Pastikan semua memiliki aplikasi MySejahtera bagi memudahkan proses mendapatkan suntikan vaksin ini nanti. Lindung diri, lindung semua.

-MCA online-