Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhenti melarikan diri dan sebaliknya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu kontroversi terowong dasar laut Pulau Pinang.

Katanya Lim tidak harus mengelak daripada berdepan dengan soalan Wee memandangkan amat penting segala keraguan berhubung projek tersebut diperjelas.

“Semua orang boleh lihat beliau mengelak daripada perbahasan ini. Beliau sebenarnya sedang mencari alasan memandangkan beliau tidak dapat memberi jawapan berhubung isu terowong tersebut,” kata Menteri Pengangkutan itu pada sidang media selepas memperkenalkan tren KLIA Ekspres baharu, di sini hari ini.

Minggu lepas, Wee dilaporkan mencabar Lim yang juga Setiausaha Agung DAP untuk berbahas dengannya mengenai projek terowong dasar laut itu.

Lim bagaimanapun menolak dengan alasan beliau hanya akan membahaskan isu tersebut dengan presiden MCA yang setaraf dengannya dari segi protokol politik.

Mengulas isu berbeza, Liow berkata perpaduan MCA Johor tidak harus dipertikaikan kerana ketika ini parti itu dan juga rakyat di Johor kekal bersatu bagi memastikan Barisan Nasional meraih kemenangan majoriti dua pertiga.

“MCA dalam keadaan baik di sana dan bersama-sama rakyat. Kami bersedia berdepan cabaran pada pilihan raya umum akan datang untuk membantu BN,” katanya.

-Bernama-