Dalam kenyataan daripada 20 gerakan mahasiwa yang dilaporkan semalam, antaranya, wakil-wakil daripada Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, dan Universiti Kebangsaan Malaysia, mereka membawakan lima tuntutan bagi menangani situasi kenaikan harga barang ketika ini.

Antara tuntutan yang dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah bagi mengawal harga barangan serta makanan kafeteria dan vendor dalam universiti kerana berlaku peningkatan harga makanan yang mendadak.

Pemuda MCA memandang serius tuntutan gerakan mahasiswa ini.

Mahasiswa adalah golongan yang masih belajar, belum ada pendapatan dan sangat bergantung pada harga rendah yang ditawarkan di kantin dan kafeteria untuk mereka membeli makanan.

Kami juga prihatin terhadap masalah yang mereka hadapi kerana mahasiswa bukan sahaja bergelut dengan cabaran meniti kehidupan dalam kebiasaan baharu akibat pandemik COVID-19, tetapi ramai juga yang terkesan susulan pengajian norma baharu yang memerlukan kepantasan dunia digital.

Menurut laporan sebelum ini, golongan mahasiswa juga amat terdedah kepada risiko kesihatan mental disebabkan tekanan yang mereka alami.

Pemuda MCA memberi komitmen bahawa kami akan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan semua gerakan siswa demi kemaslahatan mereka dan negara. Kami berharap agar mahasiswa dan orang muda di luar sana tidak mudah berputus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam menjalani kehidupan mereka.

Justeru, Pemuda MCA menyeru kepada semua mahasiswa agar mengekalkan perjuangan mereka kerana merekalah bakal pemimpin negara di masa depan.

Kami yakin dan berharap agar golongan mahasiswa terus berfikir secara kritis, menganalisis dan mengupas tentang isu yang mereka bincangkan dengan hujah-hujah yang tuntas.

Keprihatinan mahasiswa terhadap isu kenegaraan, sosial dan ekonomi, amat penting bagi melahirkan golongan anak muda yang mempunyai nilai patriotik.

Daniel Wa Wai How
Setiausaha Agung Pemuda MCA
1 Julai 2022

- MCA Online