Bagi memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, kerajaan telah mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan murid, malah turut melibatkan seluruh warga sekolah. Namun, apa yang tidak sedap didengar adalah, baru beberapa hari ia dilaksanakan, ibu bapa sudah mula melahirkan kebimbangan keselamatan anak mereka melalui media sosial berhubung pin lencana yang tajam yang boleh mendatangkan kecederaan.

Walaupun inisiatif kerajaan mengedarkan lencana Jalur Gemilang ini wajar dipuji, namun harus juga mempertimbangkan kaedah alternatif yang lebih selamat dalam usaha kita ingin memupuk semangat kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda di negara ini.

MCA mencadangkan agar lencana Jalur Gemilang bersulam atau yang boleh ditampal digunakan bagi mengelak berlakunya kecederaan terhadap anak-anak kita, selain mengelakkan berlakunya kes kecurian atau kehilangan. Lencana yang dibekalkan oleh kerajaan pada ketika ini, mampu mendedahkan kepada risiko kecederaan tambahan kepada para pelajar yang masih belum pandai mengendalikan objek tajam.

Selain itu, penggunaan pin itu juga boleh merosakkan pakaian sekolah sekiranya besi pin tersebut berkarat. Para pelajar turut terdedah dengan kecederaan sekiranya pin itu tercabut dan terjatuh di mana-mana, mungkin mereka akan terpijak atau terduduk atas lencana tersebut.

Dalam kita berusaha untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan para pelajar, keselamatan mereka tidak seharusnya dikorbankan. Walaupun lencana itu dibekalkan secara percuma, namun turut mendapat kebimbangan ibu bapa sekiranya lencana itu pecah atau rosak, mereka perlu mengeluarkan modal untuk membeli lencana yang baharu.

MCA menggesa agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih bertimbang rasa terhadap pelaksanaan ini kerana ia tidak seharusnya menjadi punca kebimbangan ibu bapa.

Felicia Wong
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA
23 April 2025