23 September 2020

Kenyataan Media Ketua Wanita MCA Sabah, Pamela Yong

Hina anggota keselamatan : Mohamaddin wajar berhenti bertanding dalam PRN Sabah

Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal disaran supaya mengarahkan calon partinya bagi kawasan Segama iaitu Mohamaddin Ketapi supaya segera berundur daripada bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah susulan kenyataannya yang menghina anggota keselamatan negara. Jika tidak, ungkapan Mohamaddin tersebut akan disifatkan sebagai pendirian parti Warisan.

Mohamaddin telah memohon maaf dengan alasan kononnya kenyataan beliau disalah tafsir. Cara beliau memohon maaf dilihat tidak ikhlas dan tidak membawa apa-apa makna lagi kerana jelas apa yang dilafazkan beliau semasa berceramah baru-baru ini benar-benar mengguris hati rakyat Malaysia dan Sabah , khususnya ahli keluarga anggota keselamatan negara.

Sebagai seorang pemimpin politik kanan dan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya , beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak logik sebegini. Oleh itu, Shafie sebagai ketua parti Warisan perlu memecat Mohamaddin daripada parti, meminta beliau memohon maaf dengan ikhlas dan mengarahkannya berundur daripada bertanding dalam PRN Sabah kali ini.

Kenyataannya yang mendakwa insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 merupakan sandiwara, malah anggota keselamatan ketika itu sebenarnya berperang dengan ayam dan anjing, bukan sahaja menghina pasukan keselamatan yang sanggup berkorban demi negara, tetapi juga menyinggung perasaan seluruh ahli keluarga anggota yang terkorban.

Selain itu, Mohamaddin juga mengatakan tindakan Kementerian Kesihatan menandakan Pantai Timur Sabah sebagai kawasan zon merah pandemik COVID-19 sebagai drama untuk menakut-nakutkan orang-orang Cina supaya tidak keluar mengundi. Ini satu lagi penghinaan yang amat besar terhadap pasukan perubatan yang menggadai nyawa sebagai barisan hadapan negara demi menjaga kesihatan seluruh rakyat di negara ini.

Ahli-ahli politik bebas untuk memainkan apa saja isu, namun isu-isu berkaitan kedaulatan negara, pengorbanan anggota badan beruniform seperti pasukan keselamatan dan perubatan tidak sepatutnya dipolitikkan, jauh sekali ditertawakan. Dengan kenyataan bertahap rendah yang telah menghina rakyat Sabah dan seluruh Malaysia ini, maka Mohamaddin sememangnya tidak layak bertanding dalam pilihan raya, apatah lagi untuk diangkat sebagai wakil rakyat.

-MCA online-