Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata MCA telah banyak terlibat dalam proses membawa pulang mangsa-mangsa sindiket pemerdagangan manusia di luar negara dan berpendapat isu ini merupakan masalah sejagat kerana ia melibatkan beberapa buah negara.

"Sindiket pemerdagangan manusia ini dilihat semakin membimbangkan dan turut mendapat perhatian khusus oleh Kabinet. Perkara ini telah menarik perhatian Kabinet dan (selama) dua minggu kita bincang tentang isu ini. Parti saya sendiri turut melibatkan diri, ramai (mangsa) yang telah kita bawa pulang.

"Ini adalah satu masalah sejagat kerana melibatkan beberapa buah negara. Saya yakin kerajaan akan dapatkan bantuan secara kolektif, bukan sahaja Wisma Putra yang akan mengepalai usaha ini malah turut disokong Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan lain termasuk pihak polis," katanya ketika ditemui media semalam.

Ka Siong yang juga merupakan Menteri Pengangkutan turut berkata beliau turut dimaklumkan bahawa keadaan rakyat yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara amat dasyat.

"Daripada makluman yang saya dapat daripada Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong dan beberapa aktivis lain yang membantu Pemuda MCA untuk membawa pulang mangsa-mangsa ini, mereka telah memberitahu saya bagaimana dasyatnya (keadaan mangsa) dan sebagainya.

"Ada yang tanya kepada saya kenapa (kaum) Cina (jadi mangsa)? Ini kerana mereka ini dipaksa untuk menipu warganegara China supaya terperangkap dan memberikan duit, sebab di Malaysia ramai yang boleh bercakap Bahasa Cina. Itu sebabnya," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat khususnya golongan muda untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan kerja yang menawarkan gaji lumayan hanya untuk mendapatkan duit dengan jalan pintas.

"Kita bantu rakyat kita yang sengsara, kita tahu ada yang pergi disebabkan pengiklanan yang tidak betul dan mereka terjerumus, ada yang dipaksa dan dibawa naik kereta, bot dan akhirnya diletakkan satu tempat yang terpencil," katanya.

Dalam masa yang sama Ka Siong turut menzahirkan penghargaan kepada Wisma Putra kerana bertindak pantas dalam menangani kes ini.

"Saya ucapkan terima kasih dengan tindakan pantas Wisma Putra dalam menangani isu ini. Tetapi apakan daya, jumlah yang terlibat agak besar. Kita perlu fikir dan PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga turut memberi perhatian dan rayuan yang dibuat didengar oleh kerajaan," katanya.

Untuk rekod, MCA antara pihak yang komited dalam memperjuangkan isu penipuan dan pemerdagangan manusia di luar negara ini.

Pada April lalu, 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan menawarkan gaji lumayan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air hasil daripada aduan salah seorang mangsa kepada Pemuda MCA.

Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong
Presiden MCA
23 September 2022

-MCA online-