1 September 2018

Kenyataan Media Setiausaha MCA Selangor Dato’ Ng Chok Sin

Rakyat juga tidak yakin Pakatan mampu semak dan imbang PM sendiri

Kajian Iman Research yang dilaporkan Free Malaysia Today (30 Ogos 2018) menunjukkan terdapat kebimbangan di antara peserta-peserta bahawa anggota-anggota Kabinet tidak cukup “kuat” untuk menyemak dan mengimbang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini menekankan kepentingan peranan semak dan imbang perlu dimainkan oleh parti pembangkang.

Ini terbukti lagi apabila DAP dan PKR yang sebelum ini lantang menyuarakan bantahan tetapi sekarang mendiamkan diri mengenai keputusan mengekalkan Akta Rahsia Rasmi (OSA), pembinaan projek kereta nasional ketiga dan baru-baru ini, pemberian kontrak kerajaan kepada dua syarikat yang ada kaitan dengan anak Tun Mahathir, iaitu Opcom dan Petron.

Keputusan mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), yang terdiri daripada rakan-rakan Tun Mahathir semasa era pemerintahannya pada 1980an, juga membuktikan Kabinet tidak berkuasa. Oleh itu, ia memang tidak menghairankan mengapa rakyat bimbang keupayaan pemimpin PKR dan DAP mengawal dan mengimbangkan keputusan Perdana Menteri.

Selain itu, suara-suara yang meminta siasatan dijalankan ke atas Tun Mahathir, anak-anaknya, dan juga kroni-kroniya telah menjadi senyap, walaupun pemilik-pemilik suara tersebut sekarang berada di dalam kerajaan, malah ada juga yang memegang jawatan menteri.   

Malah, apabila CEP dilaporkan mencampur tangan dalam badan kehakiman kerana menggesa Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan untuk meletak jawatan, dimana perginya suara DAP dan PKR?  Apa telah terjadi dengan “pemisahan kuasa” yang kononnya diperjuangkan kedua-dua parti tersebut?

Dalam tempoh 100 hari sahaja Pakatan membuktikan diri tidak mampu melakukan semak dan imbang terhadap antara satu sama lain. Jika pemimpin berjawatan menteri pun tidak mampu, atau tidak berani, mempersoalkan keputusan PM, apatah lagi seorang ADUN dari parti yang sama. Jadi, berilah laluan kepada pembangkang menjalankan tanggungjawab tersebut. Kami sudi dan rela menggalas tanggungjawab ini demi manfaat dan kepentingan rakyat.

Dato’ Ng Chok Sin
Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor

-MCA online