23 Mei 2019

Kenyataan Media Jurucakap Pemuda MCA Ryan Ho Kwok Xheng

Khalid Samad digesa letak jawatan, lebih fokus melaksanakan pilihan raya PBT

Apakah status terbaru mengenai Taman Rimba Kiara? Adakah projek tersebut akan diteruskan, atau dibatalkan demi kebaikan rakyat? Kami menggesa YB Khalid Samad untuk menjawab soalan-soalan berikut dalam kedua-dua kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP):

Pada 18 Mei 2019, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YWP menyatakan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membawa cadangan baharu kepada Kabinet untuk membuat keputusan, di mana nilai pembangunan kasar (GDV) akan dikurangkan kepada RM1.5 bilion untuk 1,082 unit kondominium.

CEO YWP juga mendakwa bahawa pengecilan projek ini tidak akan menceroboh Taman Rimba Kiara, namun kami mendapati projek ini akan mengambil tanah seluas 8 ekar.

YB Hannah Yeoh bagaimanapun mendakwa bahawa projek rumah panjang hanya memerlukan tanah seluas 1 ekar. Oleh itu, dari mana datangnya penambahan 7 ekar, kalaulah projek tersebut tidak mencerobohi TRK?

Ia dilaporkan secara meluas juga bahawa cadangan baharu tersebut akan dibawa kepada Kabinet untuk membuat keputusan, namun di mana laporan Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang wajib dilakukan? Bagaimanakah Kabinet boleh membuat keputusan tanpa kedua-dua laporan tersebut?

Mengapakah YB Khalid Samad tekad meneruskan projek tersebut walaupun ia jelas dibantah rakyat? Sebelum ini, beliau mendakwa pampasan yang perlu dibayar bagi pembangunan RM3 bilion adalah RM150 juta. Jadi, apakah jumlah pampasan yang perlu dibayar sekarang? Kami masih menantikan bagaimana YB Menteri mendapat angka tersebut.

Khalid Samad digesa mengambil langkah segera melepaskan jawatan sebagai Pengerusi YWP. Jika tidak, letakkan jawatan anda sebagai Menteri KWP, kerana anda dilihat lebih memihak kepada kepentingan pihak pemaju berbanding kesejahteraan rakyat.

Daripada membentangkan cadangan baharu, apa kata hentikan sahaja rompakan paru-paru hijau secara terang-terangan ini? Sebaliknya usahakanlah piihan raya kerajaan tempatan kerana ini pasti memanfaatkan rakyat dan bukannya korporat besar. Apapun, hentikan projek TRK ini.

-MCA online-