Sebagai langkah alternatif, Wee berkata, kementeriannya telah membangunkan Sistem Elektronik DSL (eDSL) untuk memudahkan permohonan Lesen Perkapalan Dalam Negeri bagi membenarkan kapal asing melaksanakan aktiviti tertentu setelah MASA mengesahkan ketiadaan kapal tempatan yang boleh melaksanakan kerja-kerja dimohon oleh kapal asing tersebut.
“Pengecualian DSL dapat diproses dengan lebih cepat dan ianya secara langsung telah mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut oleh kapal asing, sekiranya benar-benar perlu,” katanya.
Menjawab celahan Anthony Loke (DAP-Seremban) yang menyatakan keputusan pengecualian dasar kabotaj itu dilaksanakan ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini disebabkan syarikat tempatan tidak mempunyai kapal jenis DP2 yang diperlukan untuk kerja sedemikian, Wee berkata maklumat berkenaan sedikit ‘outdated’ (ketinggalan zaman).
“Sudah ada syarikat dibawa sebagai ahli MASA yang boleh membuat kerja kerana mereka terbukti telah buat pembaikan sama di Indonesia, Singapura dan sebagainya saya boleh buat pengesahan nama dan syarikat,” katanya.
Beliau yakin kerja-kerja pembaikan kabel laut boleh dipendekkan sehingga 10 hari menggunakan syarikat tempatan berbanding tempoh diambil sebelum ini selama 27 hari.
– BERNAMA