Lebih enam dekad kita merdeka, pelbagai kemajuan telah dicapai. Namun mutu sesetengah Ahli Parlimen (MP) masih belum menunjukkan peningkatan ke tahap yang memuaskan.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menegur tindakan MP mengemukakan mukadimah panjang ketika bertanya soalan pada sesi soal jawab lisan, sehingga hanya empat soalan dapat ditanya selepas kira-kira sejam persidangan berlangsung.

Ini menunjukkan betapa MP ini bersikap mementingkan publisiti dirinya tanpa menghiraukan MP lain yang sedang menunggu giliran untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak kerajaan.

Malang bagi Parlimen dan rakyat Malaysia apabila wakil-wakil rakyat bermain politik secara keterlaluan. Ada juga yang cenderung menggunakan bahasa kasar, dwi-makna atau ‘double meaning’ yang dilihat tidak matang, seksis serta menyentuh isu perkauman.

Malah, ada yang tidak menghiraukan peraturan Dewan mahupun menghormati institusi Speaker. Terdapat juga MP yang menggunakan imunitinya untuk menabur fitnah sesuka hati dalam Dewan yang mulia itu demi kepentingan peribadi.

Semua ini merugikan rakyat dan negara apabila agenda pembangunan dan pembelaan rakyat terpaksa dibazirkan untuk politik sempit.

Tiba masanya Dewan Rakyat menjalani reformasi sebagai tempat perbahasan yang rasional, bernas dan peduli rakyat. MP-MP pula perlu melalui reformasi sikap dan mentaliti supaya lebih profesional, bertimbang rasa serta mengutamakan rakyat.

Ryan Ho
Jurucakap Pemuda MCA
26 November 2021