Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong tidak menolak pendekatan merapatkan saf bagi mendapatkan lebih sokongan rakyat merupakan cabaran terbesar yang perlu dilalui.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) perlu menggembleng tenaga bersama untuk kembali lebih kuat.

"Bagaimana kita nak merapatkan saf untuk dapatkan lebih sokongan rakyat, saya rasa itu satu cabaran yang agak besar. Kita kena menyahut seruan ini (ucapan dasar Presiden UMNO) dan kita bersama-sama menggembleng tenaga (untuk) kembali lebih kuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) hari ini sebagai mengulas ucapan dasar presiden yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambahnya lagi, mesej yang disampaikan oleh Ahmad Zahid cukup jelas apabila menyebut mengenai haluan BN dan UMNO yang lebih menjurus kepada kesederhanaan.

"Ini adalah satu asas perjuangan yang sangat pragmatik di Malaysia yang melihat kemajmukan masyarakat di Malaysia ini," katanya.

Sementara itu, Ka Siong turut menjelaskan tidak janggal atau berasa kelainan hadir ke PAU kali ini apabila melihat beberapa pemimpin DAP turut sama hadir.

"Ini (hadir ke PAU) seperti tradisi. Saya sudah hadir hampir sepuluh kali, dulu selaku Timbalan Presiden MCA dan kini sebagai Presiden MCA...seperti biasa sahaja.

"Kita mendukung tradisi, dalam keadaan politik sekarang, pihak penganjur membuat sedikit pengubahsuaian. Bagi saya sama sahaja, di tempat (duduk) yang sama dan mendengar ucapan rakan kita. Tak ada perubahan apa-apa,".

-MCA online-