Dakwaan bahawa Proton Holdings Bhd (Proton) akan menjual 51 peratus sahamnya kepada syarikat asing dan menyebabkan kekayaan negara tergadai, tidak benar.

Menyangkal tuduhan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya dibuat setakat ini.

Proton sebaliknya kini dalam proses mengenal pasti rakan kongsi strategik asing sesuai dan kenyataan mengenainya akan dibuat serentak dengan pengumuman gabungan kilang pengeluaran di Tanjung Malim, Perak dengan Shah Alam, Selangor.

“Kerajaan bukan gadai hak negara tetapi mencari peluang membantu Proton membangun secara lebih cekap dan setanding jenama besar dalam industri automobil dunia.

"Kerajaan juga tidak akan membuat pengumuman bagi pihak Proton dan saya minta agar semua pihak bersabar," katanya selepas membuat lawatan kerja di kilang Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Kelemak, di sini, hari ini.

Jelas Ong, kerajaan hanya memberi galakan kepada Proton untuk mencari rakan kongsi strategik asing bagi meningkatkan keupayaan pengeluar kereta nasional itu bersaing di pasaran antarabangsa.

"Proton bebas memilih rakan kongsi strategik yang mempunyai berkemampuan besar sama ada dari Amerika Syarikat, Jepun, China atau negara Eropah.

"Kita harap selepas ini Proton dapat membangunkan hab automobil yang membolehkan Malaysia menjual kenderaan nasional bermutu tinggi sehingga menembusi pasaran antarabangsa terutama di negara ASEAN," katanya.

Menurutnya, ia akan membantu meningkatkan jualan ke peringkat antarabangsa kerana pasaran ketika ini tidak besar, hanya 600,000 kenderaan setahun berbanding Amerika Syarikat, 17 juta kenderaan dan China, 25 juta kenderaan setahun.

Menurut Ong, bagi mencapai kemajuan berterusan, Proton tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan yang tidak cukup bagi menampung kos penyelidikan pengeluaran kereta berkualiti selain bersaing dengan jenama lain.

-Bernama-