15 Ogos 2019

Kenyataan Media Timbalan Ketua Pemuda MCA Tan Chee Hiong

Jaminan tiada “bailout” boleh dipercayai?

MCA mengalu-alukan jaminan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking bahawa tiada “bailout” akan dibuat jika DreamEDGE gagal dalam pelaksanaan projek kereta nasional ketiga.

Namun, MCA ingin mengingatkan Leiking bahawa beliau sendiri pernah memberi jaminan bahawa tiada dana awam akan digunakan sebelum ini, tetapi jaminan awal beliau itu terbukti tidak ditepati apabila syarikat DreamEDGE dilantik kerajaan Pakatan Harapan sebagai syarikat utama dalam pembangunan projek idaman peribadi Tun Dr Mahathir.

Oleh itu, jaminan terbaru Leiking ini sukar diterima rakyat. Bagaimanakah kami mahu yakin dan percaya bahawa janji tiada “bailout” akan ditepati, dan bukannya dibuang di tepi jalan seperti janji-janji Pakatan Harapan yang lain, misalnya janji untuk memansuhkan tol dan menutup kilang Lynas?

Jadi, kami mencadangkan supaya Leiking dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng duduk semeja dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pembangunan Usahawanan Datuk Seri Redzuan Yusof terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa pengumuman. Ini kerana, apa yang kami perhatikan ialah kenyataan kempat-empat pemimpin ini seringkali bercanggah antara satu sama lain.  

Selain itu, kami juga menggesa Leiking menyatakan sama ada polisi perlindungan akan dilaksanakan, sepertimana yang dilakukan semasa Proton dilancarkan buat kali pertama. Semasa pentadbiran BN terdahulu, harga-harga kereta import telah berjaya diturunkan susulan penyusunan semula pemberian lesen import dan eksport (AP).

Malangnya, kejayaan BN ini bakal diranapkan oleh Pakatan Harapan apabila kereta nasional ketiga dilancarkan pada tahun depan, dan ini secara langsung akan menyusahkan rakyat disamping menghadkan kuasa pembeli, terutamanya golongan berpendapatan sederhana M40 yang hanya mampu membeli kereta buatan tempatan.

-MCA online-