8 Julai 2020

Kenyataan Media Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon

AGM cawangan dan bahagian MCA diadakan pada bulan September dan Oktober ini

Semua cawangan Dan bahagian MCA akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) masing-masing untuk tahun 2020 pada bulan September dan Oktober ini. Selaras dengan norma baharu, MCA akan memastikan bahawa semua AGM tersebut akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Keputusan ini berlandaskan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa semua mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan yang dianjurkan parti politik, syarikat, persatuan koperasi dan semua pertubuhan berdaftar dengan ROS boleh memulakan penganjuran AGM masing-masing bermula 1 Julai, namun dengan kehadiran peserta tidak melebihi seramai 250 orang.

Sehubungan itu, mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 19 Jun telah memutuskan bahawa semua cawangan dan bahagian MCA akan menganjurkan AGM masing-masing dalam bulan September dan Oktober. Mengikut ketetapan Perlembagaan Parti, ahli-ahli parti perlu diberi notis minimum sebanyak 14 hari sebelum hari mesyuarat.   

Semua cawangan dan bahagian MCA juga telah diingati supaya mendaftarkan nama ahli, menggunakan aplikasi MySejahtera, memeriksa suhu badan dan mengamalkan penjarakan sosial sepertimana yang ditetapkan dalam SOP oleh ROS.

Jawatankuasa Pusat MCA juga akan mengeluarkan senarai SOP untuk rujukan cawangan dan bahagian parti.

-MCA online-