Isu kenaikan mendadak harga sayur yang timbul ketika ini menyebabkan rakyat resah, tambahan pula kesan akibat COVID-19 masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Sebelum ini media melaporkan bahawa harga beberapa jenis sayur didakwa telah meningkat sebanyak 200 peratus, antaranya kubis bunga (RM7 kepada RM16 sekilogram), sawi pendek (RM3 kepada RM9), brokoli (RM8 kepada RM20) dan sawi (RM5 kepada RM8).

Memandangkan sayur merupakan barangan makanan keperluan asas, maka kerajaan wajar mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini bagi meringankan beban rakyat yang sudah pun terlalu berat untuk ditanggung. Lebih membimbangkan, tinjauan Consumer Association Penang (CAP) mendapati bahawa kenaikan harga ini dijangka berlaku pada sayur-sayuran lain pada minggu hadapan.

Ia turut dilaporkan dalam media bahawa punca kenaikan tersebut adalah faktor cuaca, kerosakan tanaman dan juga pengurangan import ditambah dengan kenaikan kos pengangkutan. Selain itu, kos baja, racun serangga dan racun rumput yang meningkat mendadak juga menyumbang kepada faktor kenaikan harga sayur ini.

Walaupun cuaca dan bencana adalah di luar kawalan manusia, namun kami yakin bahawa kerajaan masih boleh memainkan peranan untuk mengawal harga sayur-sayuran, sepertimana yang dibuat untuk barangan keperluan asas yang lain.

Penyelesaian masalah tidak hanya boleh menumpu kepada penetapan harga siling sahaja, tetapi juga harus mengambil kira kesusahan peniaga, pemborong, pekebun dan peladang yang terlibat. Pendek kata, kepentingan semua pihak termasuk pengguna harus dilindungi.

Maka, kerajaan dicadangkan supaya segera mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan untuk membincangkan masalah ini dan cara penyelesaiannya demi mencapai situasi menang-menang bagi semua pihak.

Pemuda MCA yakin kementerian-kementerian dan agensi atau jabatan yang berkaitan akan bertindak segera serta saling kolaborasi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan segala keluhan rakyat ini dapat ditangani dan diselesaikan.

Lee Yee Yuan
Jurucakap Pemuda MCA
25 November 2021

-MCA online