Kemarahan rakyat tercetus apabila kerajaan negeri Pakatan Harapan di Selangor yang mengklasifikasikan hutan simpanan seluas 887 hektar atau bersamaan 1657 padang bola sepak di Bukit Lagong sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) walaupun wujudnya Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI). Namun, adakah kerajaan DAP - Pulau Pinang lebih hebat dalam FOI?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Penang Forum menyelar sikap kerajaan Pulau Pinang yang dilihat kurang ikhlas dalam menghebahkan Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2030 kerana dipamerkan hanya di dua lokasi sahaja (Bangunan Syed Al-Attas di Lebuh Armenian dan Makerspace di Balik Pulau) di negeri tersebut dan terhad pada waktu pejabat sahaja iaitu bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari dan dari 2 petang hingga 4 petang. Adakah 6 jam sehari ini cukup untuk orang ramai masuk dan membaca segala maklumat di dalamnya?

Apa yang lebih menyedihkan, rakyat Pulau Pinang perlu membayar RM150 untuk mendapatkan pemacu mudah alih (pendrive) yang mengandungi butiran lanjut berkaitan draf ini.

Adakah halangan birokrasi mengenai maklum balas orang ramai ini sengaja dibuat supaya rancangan Pulau Pinang untuk pemusnahan alam sekitar selanjutnya melalui tebusguna tanah tambahan di Jelutong dan Batu Maung dapat ditutup?

Kerajaan negeri DAP Pulau Pinang sentiasa berbangga dengan slogan Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT), namun apabila ia berkait dengan dokumen rasmi yang akan memberi kesan kepada semua rakyat Pulau Pinang, ia sukar diakses.

Sekiranya kerajaan negeri DAP Pulau Pinang benar-benar ikhlas untuk mendedahkan draf ini, saya sudi memberi beberapa cadangan agar ia mudah untuk diakses sepenuhnya oleh rakyat di dalam mahupun di luar Pulau Pinang. Cadangan saya :

1) Mengadakan jerayawara (roadshow)

2) Paparkan maklumat draf di kawasan awam dan di laman web rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) termasuk media sosial, facebook dan sebagainya

3) Butiran atau dokumen tersebut boleh dimuat turun secara percuma dan tidak perlu mengenakan bayaran RM150 bagi setiap pendrive

4) Melalui laman web dan media sosial rasmi MPPP, jemput orang ramai dalam sesi bertemu dengan pihak berkuasa tempatan pada tarikh dan masa yang dijadualkan di lokasi berbeza di seluruh Pulau Pinang. Ini akan menunjukkan bahawa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, barisan Exco dan MPPP negeri ikhlas untuk melibatkan orang ramai dalam pendedahan draf ini dan tidak berselindung di sebalik bayaran RM150, atau waktu operasi yang terhad.

5) Juga, boleh sediakan 'Google Form' untuk maklum balas dan cadangan orang ramai.

Saw Yee Fung
Jurucakap MCA
30 Oktober 2022

- MCA Online