Malaysia berjaya mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM193.7 bilion dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama yang membabitkan 2,786 projek bagi tempoh Januari hingga September 2022. Memetik laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan itu meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Berita ini pastinya sesuatu yang positif disaat negara sedang menuju ke arah kestabilan ekonomi. Walaupun banyak cabaran sepanjang tempoh tersebut, namun pentadbiran negara masih mampu membawa pelaburan ke Malaysia. Tidak kira siapa juga yang dipilih untuk mentadbir Malaysia, kemajuan negara dan kebajikan rakyat seharusnya menjadi keutamaan. Kerajaan perlu terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang diminati pelabur.

Semoga kejayaan ini akan berterusan dan terus meningkat untuk tahun-tahun yang akan datang. Rakyat turut mengharapkan ekonomi negara akan terus melonjak naik kerana ia turut memberi kesan kepada kos sara hidup mereka. Masa untuk berpolitik sudah tamat, kini tiba masanya untuk kerajaan memberikan yang terbaik buat negara dan rakyat.

Selain menarik minat pelabur, saya merasakan bahawa kelangsungan perusahaan perniagaan tempatan juga wajar diberi perhatian serius serta berterusan. Pada ketika ini, pengusaha restoran dan katering Cina atau penyediaan makanan dan minuman (F&B) meluahkan kebimbangan mereka menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Kebanyakan mereka perlu memberikan gaji yang lebih daripada biasa bagi mengelakkan pekerja mereka 'lari' ke luar negara seperti Singapura yang sedia maklum, menawarkan gaji lumayan kepada pekerja pada musim perayaan.

Justeru itu, sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada 22 Januari 2023, maka saya berpendapat alangkah baiknya sekiranya kementerian, agensi dan pihak yang berkaitan dapat menjalankan program segera atau 'ad hoc' bagi menggalakkan para pelajar institusi pengajian tinggi menyertai industri di lapangan. Selain memberikan para pelajar pengalaman di lapangan walaupun hanya dalam tempoh singkat, pengusaha restoran dan perniagaan juga perlulah memberikan gaji setimpal kepada mereka yang membantu sektor F&B kekal beroperasi dan berdaya saing untuk tempoh jangka panjang. Saya penuh yakin, para pelajar terutamanya dalam jurusan kulinari dan F&B ini dapat memanfaatkan peluang yang ada sebelum bergelar usahawan dan ahli perniagaan berjaya suatu hari nanti.

Saw Yee Fung
Jurucakap MCA
15 Disember 2022