2 Februari 2023

Kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Kebangsaan, Ng Sing Phing

Biar pihak sekolah tentukan waktu operasi mereka, setelah ambil kira pandangan ibu bapa pelajar

Cadangan agar waktu persekolahan harian dimulakan setengah jam lebih lewat perlu diberikan perhatian oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, tiada suatu masa yang paling sesuai kerana setiap sekolah beroperasi di kawasan yang berbeza dengan latar belakang pelajar yang berlainan.

Ibu bapa yang makan gaji mungkin lebih suka waktu persekolahan 7.30 pagi kerana masih mempunyai masa untuk masuk pejabat pada jam 8 pagi.

Bagi yang tidak bekerja pejabat, waktu persekolahan pada 8 pagi mungkin lebih digemari apabila perjalanan harian boleh diatur dengan lebih fleksibel.

Tetapi Sabah dan Sarawak yang menerima siang hari lebih awal mungkin boleh memulakan persekolahan seawal jam 7 pagi.

Justeru Kementerian Pendidikan harus mempertimbang untuk memberikan autonomi kepada pihak sekolah bagi menentukan waktu persekolahan masing-masing.

Di samping itu, sukatan pendidikan sedia ada juga perlu diperbaiki bagi menggalakkan penglibatan pelajar serta interaksi di antara mereka. Ini memandangkan pengajaran semata-mata bukan sahaja menjadikan kelas kurang menarik tetapi juga membebankan guru-guru.

-MCA online-