KERAJAAN perlu mengekalkan pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 kepada pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) demi manfaat pengajian anak di peringkat universiti.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata SSPN terbukti sebagai satu mekanisme yang cukup baik untuk tabungan masa depan pendidikan anak-anak.

Katanya, tindakan kerajaan yang tidak lagi memberikan pelepasan cukai berkenaan kepada pencarum SSPN merupakan keputusan yang ‘tidak baik’.

“Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan (Steven Sim) yang menyatakan bahawa pencarum SSPN tidak lagi diberi pelepasan cukai sebanyak RM8,000 setahun, mendapat respon berbeza daripada ibu bapa. Mereka merasakan ini bukan satu keputusan yang baik.

“Bagi saya kita patut merayu kepada kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan (benarkan pelepasan cukai) kerana SSPN sangat penting bagi ibu bapa demi membiayai kos pendidikan anak-anak mereka pada masa depan,” katanya menerusi video di Facebook.

Presiden MCA itu berkata, hakikatnya perkara itu pernah diperhalusi pada pembentangan Bajet 2023 oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Oktober 2022 dan ia dilanjutkan untuk tafsiran 2023.

“Mungkin pada kali ini disebabkan oleh pembentangan (bajet) oleh PM selaku Menteri Kewangan ianya tidak secara eksplisit (terperinci) menerangkan perkara ini, mungkin tercicir,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat meneruskannya insentif itu kerana ia satu dasar dasar yang baik, sekali gus membuat keputusan baharu berhubungmengenainya.

“Bagi saya tidak terlambat kerana tahun taksiran 2023 hanya bermula awal tahun hadapan jadi ada sembilan bulan lagi (membuat keputusan).

“Bagi pencarum jika diumumkan (kekal pengecualian cukai) dalam tempoh terdekat maka ia pasti merupakan berita menggembirakan ibu bapa khususnya mereka berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Sim yang mengesahkan perkara itu mendakwa, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

– Malaysiapost