Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kunjungan hormat tersebut turut disertai oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Johor.

Dalam pertemuan itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan terhadap isu melibatkan negeri ini.

“Saya telah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri di atas sikap prihatin beliau dan Kerajaan Persekutuan terhadap beberapa isu utama yang membelenggu Negeri Johor seperti masalah banjir, jalan raya, hospital dan kesesakan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Saya dan barisan EXCO (Kerajaan Johor) juga amat menghargai bantuan Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan 2023 Malaysia Madani,” kata beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

Onn Hafiz turut menzahirkan harapan hubungan baik Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan dapat diterjemahkan sehingga Johor mampu menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

#MediaDigitalJohor