Kenyataan Bruce Gilley ketika memberikan ucaptama di sebuah program anjuran IPTA di Kuala Lumpur semalam adalah biadap dan bersifat songsang.

Melalui ciapan di laman X beliau juga, Gilley dilihat dengan begitu angkuh dan secara terbuka menyatakan bahawa negara yang pemimpinnya menyokong serangan terhadap orang Yahudi tidak berperanan dalam hal ehwal antarabangsa dan tidak layak berkawan dengan Amerika Syarikat.

Gilley bukan sahaja kurang sensitif dan tidak menghormati dasar luar Malaysia, malah seolah-olah mencabar pendirian Malaysia yang konsisten dalam isu konflik Israel-Palestin ini.

Saya yakin pendirian Malaysia dalam isu ini adalah sangat jelas dan konsisten di mana kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri baru-baru ini. Ternyata serangan berterusan oleh tentera Israel ke atas bumi dan rakyat Palestin bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan kepada sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Mereka layak hidup dalam bumi sendiri dengan aman dan damai.

Orang seperti Bruce Gilley ini tidak layak memasuki Malaysia dan saya menyarankan supaya Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak pantas dan tegas dalam hal ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

NEOW CHOO SEONG
KETUA PENERANGAN PEMUDA MCA
25 APRIL 2024

- PENERANGAN MCA