26 Mac 2020

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Perlis, Sdri. Ng Sing Phing

Rakyat digesa bekerjasama dalam menangani pandemik Covid-19

Pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 sepertimana yang dimumkan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu keputusan yang sangat tepat.

Walaupun rutin kehidupan harian rakyat akan terjejas dengan pelaksanaan lanjutan PKP ini, namun ia terpaksa dilakukan juga kerana trend positif baharu wabak Covid-19 di Malaysia dijangka berterusan, malah agensi penyelidikan JP Morgan Chase and Co. juga menyatakan bahawa kes positif di negara ini diunjur mencapai 6,300 kes. Oleh itu, orang ramai digesa memahami situasi dan tanggungjawab berat yang dipikul kerajaan sehingga terpaksa mengambil langkah drastik seperti ini.

Setakat ini, usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak ini dilihat agak berkesan. Trend jumlah jangkitan di Malaysia dilihat masih perlahan, dan tiada lonjakan secara mendadak sepertimana yang dilihat di Itali yang mencatat lebih 6,000 kematian dan lebih 53,000 kes positif sejak 21 Februari lalu.

Ketika ini para petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan staf-staf di barisan hadapan bertungkus-lumus bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah, dan merisikokan nyawa mereka demi keselamatan seluruh rakyat Malaysia. Janganlah kita mengambil mudah pengorbanan mereka dan melanggar PKP dengan sewenang-wenangnya. Tolonglah mematuhi arahan demi kebaikan semua, dan hanya keluar apabila betul-betul diperlukan sahaja.

Seramai 80 petugas kesihatan telah dilaporkan positif Covid-19, dan walaupun ia tidak berpunca daripada pengendalian kes positif Covid-19, tetapi bayangkanlah betapa beratnya beban fizikal dan mental yang terpaksa diharungi rakan-rakan sejawat mereka yang masih berada di barisan hadapan ketika ini.

Inilah pentingnya kerjasama rakyat. Janganlah kita menambahkan beban petugas-petugas di barisah hadapan. Hubungan rakyat dengan kerajaan seolah-olah “bagai aur dengan tebing” di mana kita semua perlu saling membantu dan bekerjasama untuk menangani pandemik yang kejam ini.

Bagi mereka yang sakit, jangan takut dan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor, dan janganlah menyembunyikan maklumat penting seperti perjalanan ke luar negara ataupun kontak rapat dengan kes-kes positif Covid-19. Bagi yang lain, duduklah di rumah dan meletakkan kepercayaan kepada kerajaan untuk menjaga kita semua dalam waktu sukar ini.

Kita semua ada peranan masing-masing, bak kata pepatah, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Marilah kita bekerjasama demi kepentingan semua dan negara untuk melawan musuh yang tidak dapat dilihat ini.

-MCA online-