Terdapat 3.6 juta orang pemegang kad kredit utama di Malaysia sehingga akhir Jun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2016, jumlah itu merupakan 18% daripada 20 juta penduduk Malaysia yang berumur antara 20 hingga 74 tahun.

“Setakat akhir Jun lepas, jumlah baki belum jelas bagi kad kredit ialah sebanyak RM36.9 bilion, yang mana 7.3% atau RM2.7 bilion merupakan baki melebihi tempoh bayaran,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Lee berkata pecahan baki melebihi tempoh tarikh bayaran iaitu baki tertunggak tidak melebihi 3 bulan sebanyak 6.2% yang bernilai RM2.3 bilion manakala baki tertunggak melebihi 3 bulan sebanyak 1.1% yang bernilai RM0.4 bilion.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh mengenai peratusan populasi rakyat yang mempunyai kad kredit serta jumlah hutang kad kredit yang tidak dapat dijelaskan dan bilangan kes dimufliskan.

Lee berkata secara keseluruhannya, 43.6% daripada jumlah pemegang kad menyelesaikan hutang kad kredit mereka dengan sepenuhnya sepanjang tempoh Januari hingga Jun lepas.

Katanya 43.6% lagi membayar sekurang-kurangnya 5% daripada jumlah baki belum jelas dalam tempoh sama dan baki selebihnya 12.8% adalah pemegang kad yang tidak membayar baki kad belum jelas sekurang-kurangnya bayaran minimum sebelum atau pada tempoh tarikh bayaran.

Mengenai jumlah kes yang dimufliskan, Lee berkata 845 individu berumur tidak melebihi 30 tahun diisytiharkan muflis dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Jaspal Singh berhubung pemantauan kementerian dalam menangani kes perjudian dalam talian melibatkan penggunaan kad kredit, Lee berkata Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan garis panduan yang menghendaki pengeluar kad kredit menyekat sebarang transaksi untuk kegiatan seumpamanya, yang dikenal pasti melalui kod kategori peniagaan.

-Bernama-