Kenyataan Media Naib Presiden MCA, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker (14 Mac 2019)

Pemberian AP baharu tidak wajar, mengkhianati kepercayaan rakyat

Minggu lepas, portal kajian kereta Drive Safe & Fast (DS&F) telah menerbit sebuah artikel yang melaporkan bahawa kerajaan baharu Malaysia telah meluluskan 36 syarikat bumiputera sebagai pemegang baru AP. Pada masa  itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming pula enggan mengulas dan meminta lebih masa untuk mengesahkan dakwaan tesebut.  

Hari ini, ia disahkan bahawa MITI telah menganugerahkan AP kepada 36 syarikat baharu. Ini bercanggah dengan pendirian pemimpin-pemimpin PH yang sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap pemberian AP atas alasan bahawa ia menyokong konsep kronisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Selain itu, AP telah dibuktikan tidak memanfaatkan rakyat jelata, dan hanya memperkayakan beberapa individu terpilih sahaja. Ini telah disahkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Sesungguhnya, kepada rakyat jelata, AP telah menjadi sinonim dengan kronisme. Analogi ini bermula semasa era Tan Sri Rafidah Aziz sebagai menteri MITI, beliau diberi gelaran “Ratu AP” susulan salah lakunya dalam pemberian AP.

Pemberian AP juga bakal menjejaskan industri automatif negara, terutamanya projek kereta nasional ketiga yang telah dilancarkan baharu ini yang menggunakan wang rakyat. Ini kerana penambahan AP akan membawa masuk kereta buatan luar negara dengan harga yang murah kerana tidak tertakluk kepada cukai atau tarif.

Ia juga bercanggah dengan agenda kerajaan Pakatan yang mahu membangunkan sistem pengangkutan awam, di samping menambahkan kesesakan jalan raya.

Sistem AP sepatutnya dihapuskan, dan cukai yang dikutip harus dikembalikan kepada rakyat melalui penambahbaikan dan penambahan infrastruktur awam seperti pengangkutan awam. Ia juga boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan mengurus kerajaan, sekaligus mengelak penswastaan penjawat awam yang bakal membebankan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.  

-MCA online-