25 Mac 2020

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Covid-19: Utamakan golongan paling terjejas

Akibat bilangan pesakit yang disahkan positif jangkitan wabak Covid-19 atau meningggal dunia kerana virus itu semakin meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Namun golongan yang paling terjejas mestilah diberikan keutamaan apabila bantuan disalurkan oleh kerajaan.

PKP sepanjang sebulan ini telah dan akan memberi kesan yang amat besar dan mendalam. Selain golongan berpendapatan rendah yang menghadapi masalah sara hidup, banyak perniagaan dan perindustian juga menghadapi masalah aliran tunai.

Keadaan ini benar-benar menguji kesabaran orang ramai serta kepintaran kerajaan. Kerajaan mestilah mengagihkan sumber dengan baik bagi memanfaatkan setiap lapisan masyarakat, untuk bersama-sama menghadapi detik yang sukar ini.

Kerajaan juga disarankan supaya membantu dari segi keperluan asas, misalnya memberikan diskaun untuk bil air dan elektrik,  menyediakan pinjaman tanpa faedah melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada golongan berpendapatan rendah, serta lain-lain kemudahan dan bantuan mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

Seluruh dunia sedang menghadapi masalah global ini. Rakyat perlu menaruh keyakinan bahawa kerajaan mampu menangani krisis ini, serta memberi penghargaan serta penghormatan kepada petugas-petugas di barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang dan malam melindungi kita, seperti tentera, polis, pengamal perubatan dan penjagaan dan sebagainya, mereka merupakan hero kepada kita.

Parti-parti politik perlu mengenepikan perbezaan ideologi dan berhenti menyerang lawan, sebaliknya bergabung tenaga menyeru seluruh rakyat untuk bersatu padu menghadapi krisis ini.

Tiada sesiapa boleh menghadapi krisis ini bersendirian. Ini merupakan salah satu cabaran terbesar  dunia pernah hadapi, yang telah meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia. Kita tidak mahu melihat keadaan yang sama berlaku di negara kita.

Sekarang bukanlah ketikanya untuk saling menuding jari, tetapi perlu bersikap tabah menghadapi segala rintangan. Kita yakin pelangi tetap akan muncul selepas hujan.

-MCA online-