Prestasi eksport negara meningkat sebanyak 24 peratus pada suku ketiga tahun ini, pada nilai RM260.6 bilion berbanding RM210.3 bilion, pada suku kedua 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, berkata ia berikutan pembabitan aktif Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan permintaan terhadap produk buatan Malaysia meningkat, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Berdasarkan laporan Malaysia's Trade Statistics Review Vol. 1/2020 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Jun lalu, sebahagian besar daripada industri berorientasikan eksport di Malaysia pada 2019 mempunyai kebergantungan tinggi terhadap barangan import.

"Barangan import utama terdiri daripada barangan perantaraan dengan sumbangan 50 peratus, diikuti barangan modal (12 peratus) dan barangan penggunaan (sembilan peratus).

"Kebergantungan tinggi terhadap barangan perantaraan diimport, rata-ratanya tidak dikenakan tarif akan mengurangkan kos perkilangan industri tempatan dalam menghasilkan barangan akhir untuk pengguna tempatan atau bagi tujuan eksport," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (BEBAS-Jerlun) meminta penjelasan penekanan kepada perdagangan antarabangsa, terutamanya dengan membuka pasaran tempatan kepada barang import tanpa dikenakan tarif akan mengekang industri tempatan.

-Berita Harian-