10 November 2020

Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin

Selangor tiada air lagi – Apa terjadi kepada 4 dron yang bernilai RM2 juta?

Gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor disebabkan pencemaran bau yang berlaku pada 10 November membuktikan kerajaan negeri PH Selangor masih tidak mempelajari dari kesilapan mereka sehingga masalah ini boleh berulang sebanyak 7 kali dalam tahun ini sahaja.

Apa sudah terjadi kepada janji untuk meningkatkan pemantauan oleh kerajaan negeri Selangor? Ke mana perginya 4 dron yang dibeli dengan harga RM2 juta yang diumumkan Menteri Besar tidak sampai sebulan lalu? Jika dron berkenaan masih belum dibeli, kemana perginya jumlah RM2 juta tersebut?

Rakyat Selangor sudah muak dan menyampah terhadap ketidakcekapan kerajaan negeri. Berapa lama lagi harus mereka melalui kesengeseraan ketiadaan bekalan air ini yang kini seakan sudah menjadi satu fenomena bulanan. Lebih-lebih lagi apabila insiden ini berlaku pada masa sama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menjejaskan kebanyakan perniagaan dan kehidupan harian rakyat, dan sekarang gangguan bekalan air ini telah menambahkan beban dan kesusahan untuk rakyat di Selangor.

Sejak Pakatan Harapan mentadbir negeri Selangor, masalah gangguan bekalan air bertambah kerap, namun mereka masih memberi alasan yang sama. Walaupun mereka telah diberi mandat selama 10 tahun, namun sikap mereka masih belum berubah tetapi sebaliknya menjadi lebih angkuh sehingga enggan mengakui kesilapan mereka sendiri.

Jelas sekali kerajaan negeri Selangor tidak kompeten dan tidak mampu menyelesaikan masalah pencemaran sungai mahupun mengambil tindakan terhadap kilang-kilang haram. Mereka juga telah gagal melaksanakan system pemantauan yang cekap untuk menghalang berlakunya insiden pencemaran.

Sekiranya Exco-exco Kerajaan negeri Selangor tidak mampu menangani masalah pencemaran air lagi mereka seharusnya meletak jawatan dan memohon maaf, dan bukannya setakat memberi alasan yang sama saja iaitu mendakwa berlakunya sabotaj.

-MCA online-