Ibu Pejabat MCA telah menerima surat jawapan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang membenarkan MCA untuk menunda Perhimpunan Agung Tahunan MCA 2020 untuk peringkat Bahagian, Negeri dan Kebangsaan sehingga 30 Jun 2021.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di peringkat Bahagian, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang bermesyuarat semalam (8hb) memutuskan bahawa MCA dan kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita di peringkat Bahagian perlu mengadakan AGM masing-masing sebelum 31 Disember 2020, manakala yang sudah mengadakannya sebelum ini tidak perlu berbuat apa-apa.

AGM 2020 untuk Pemuda dan Wanita MCA peringkat negeri pula perlu diadakan sebelum 31 Januari 2021, manakala AGM 2020 untuk MCA, Pemuda dan Wanita peringkat kebangsaan akan diadakan serentak dengan perayaan ulang tahun MCA pada tahun depan.

Mesyuarat juga membuat ketetapan tidak akan mengadakan Konvensyen 2020 untuk MCA peringkat negeri.

MCA, Pemuda dan Wanita peringkat bahagian, serta Pemuda dan Wanita peringkat negeri adalah diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia ketika mengadakan AGM masing-masing bagi menjaga kesihatan dan keselamatan para peserta.