Kerajaan merancang untuk menaik taraf Stesen Sentral Kuala Lumpur yang kini menerima kehadiran pengguna lebih sekali ganda daripada kapasiti asalnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kira-kira 200,000 orang menggunakan kemudahan stesen itu setiap hari sebelum COVID-19, berbanding kapasiti asal iaitu 100,000 pengguna.

Katanya, jumlah itu belum mengambil kira projek rel lain seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di bahagian selatan yang akan meningkatkan jumlah pengguna di Stesen Sentral Kuala Lumpur apabila siap kelak.

"Justeru, Kementerian Pengangkutan kini sedang merancang untuk memastikan stesen ini mampu menampung lebih ramai pengguna pada masa akan datang.

"Kami sedang berbincang dengan pelbagai pihak diterajui oleh kementerian untuk melihat bagaimana dapat mencerap semua keperluan ini menjadikannya satu perancangan yang lebih holistik.

"Jika dilihat, kawasan ini akan menjadi satu pusat pertukaran stesen yang amat penting, justeru kita perlu melihat dari segi kesesakan di sini dan bagaimana mahu menyediakan perkhidmatan yang bersepadu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun ke-20 Stesen Sentral Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Mohd Imran Mohd Salim; Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Nor.

Dalam ucapannya terdahulu, Ka Siong berkata, kejayaan Stesen Sentral Kuala Lumpur dijadikan contoh atau tanda aras bagi pembangunan berorientasikan pengangkutan oleh negara lain seperti Pakistan, India, Indonesia, Republic of Guinea dan juga New Zealand.

Beliau berkata, stesen itu bukan hanya sekadar sebuah stesen kereta api, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan berteraskan pengangkutan yang memacu aktiviti ekonomi komuniti setempat.

"Sesungguhnya, peranan pengandali rel dan penyedia perkhidmatan di Stesen Sentral Kuala Lumpur amat penting bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan juga mengubah landskap pengangkutan awam di Malaysia.

"Kejayaan pelaksanaan kesemua operasi pengendali rel dan penyedia perkhidmatan selama dua dekad yang lalu membuktikan ada komitmen, sokongan padu dan saling bergantung antara satu sama lain dalam memastikan kesinambungan kejayaan Stesen Sentral Kuala Lumpur," katanya.

Tapak stesen berkenaan dahulunya adalah 'marshalling yard' milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan hanya digunakan sebagai depoh dan gudang membaiki gerabak keretapi.

Pada ketika itu, tapak berkenaan dilihat amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab perniagaan yang kini dikenali sebagai KL Sentral CBD kerana lokasinya yang strategik dan dijangka dapat menarik minat pelabur asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Pada 1997, Kuala Lumpur Sentral Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh MRCB, diberi mandat untuk membangunkan sebuah hab pengangkutan yang moden dan bertaraf antarabangsa melalui sebuah perjanjian konsesi.

Pembinaan stesen itu bermula pada 1997 dan dibuka secara rasmi pada 16 April 2001. 

-Berita Harian-