Biarpun dengan hanya seorang atau tiada ahli parlimen, MCA akan menentang sebarang bentuk ekstremisme dan tidak akan ‘menutup kedai’ selagi wujud parti asas lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO atau Pas.

Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Tun Dr. Mahathir ibarat harimau yang tidak akan hilang habitatnya kerana beliau telah menjatuhkan negara dengan pelbagai krisis politik dan meneruskan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ sehingga mengakibatkan MCA mengalami masalah cagaran persatuan.

“Dr. Mahathir sepatutnya berhenti memilih MCA. Berhenti merendahkan atau menggunakan MCA sebagai beg penumbuk semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan membangunkan ‘Malaysia Baharu’ hasil undian rakyat.

“Jangan gunakan cara pemerintahan anda (Mahathir) untuk menyekat UMNO dan MCA serta menghapuskan segala penentangan terhadap peraturan seperti mana yang anda (Mahathir) berjaya lakukan dengan membahagikan PKR dan menundukkan DAP untuk ‘menyembah’ semua keinginan tanpa sebarang tentangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lian Ker, pengenalan kereta kebangsaan ketiga dan Konvensyen Ekonomi Bumiputera langsung tidak terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), sebaliknya perkara itu berjaya dilancarkan Tun Dr. Mahathir dengan cara menjinakkan DAP melalui lantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

“Tun Mahathir tidak perlu bimbangkan MCA. Beliau (Mahathir) perlu bimbangkan pengurusan kabinet yang tidak berkesan dan terus membuat U-Turn atau menyalahkan kegagalan mereka terhadap orang lain.

“MCA mungkin mempunyai satu kerusi di Parlimen seperti PKR pada tahun 2008, namun PKR telah muncul sebagai parti politik terbesar di Parlimen. MCA akan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun kita tidak mempunyai kerusi,” ujarnya.

– Utusan Online-