Johor bakal menerima pelaburan kira-kira RM230 juta daripada syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat, Colorcon Inc (Colorcon) menerusi pembinaan kilang pembuatan pertama di Asia Tenggara di negeri ini.

Peneraju teknologi farmaseutikal global itu akan membina fasiliti mereka di i-TechValley, SILC, di sini, menerusi anak syarikatnya, Colorcon Malaysia Sdn. Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han berkata, kemudahan pembuatan baharu seluas 90,000 kaki persegi itu merupakan fasiliti ke-12 syarikat tersebut di dunia dan yang pertama di Malaysia.

“Mengikut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai import produk yang dihasilkan oleh syarikat Colorcon untuk kegunaan pasaran Malaysia adalah kira-kira RM23 juta pada tahun lepas.

“Dengan siapnya fasiliti ini menjelang Julai 2025, kita dapat mengurangkan kebergantungan import produk malah membantu Malaysia menjadi hub pengeluaran produk farmaseutikal yang dihasilkan oleh Colorcon untuk memenuhi keperluan sektor farmaseutikal dan pemakanan di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Korea, Taiwan dan Pakistan,” katanya.

Terdahulu, beliau selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian majlis pecah tanah pembinaan fasiliti Colorcon Malaysia Sdn. Bhd di i-TechValley, SILC, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengarah Urusan Colorcon Wilayah Timur Laut dan Tenggara, Willem Hoogwater; Naib Presiden Operasi Colorcon Global, Daniel Wakefield; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Lim Bee Vian; Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani serta Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite Consortium Berhad, Kelvin Lee.

Ting Han turut menyifatkan langkah syarikat berteknologi tinggi itu memilih i-TechValley bagi mengembangkan perniagaan di i-TechValley sebagai amat menggalakkan.

“Kehadiran Colorcon akan membantu meletakkan Negeri Johor di peta dunia dan membantu usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk meraik lebih banyak syarikat berkaitan dalam sektor farmaseutikal ke Negeri ini.

“Pelaburan daripada syarikat Colorcon akan mewujudkan 50 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi pada tahun 2025 dan jumlah ini dijangka melipat ganda mengikut keadaan semasa.

#MediaDigitalJohor