Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan terus berperanan aktif mempromosi amalan selamat dan mampan, dalam operasi perkapalan serta pelabuhan.

Antaranya dengan penganjuran kongres Pertubuhan Pelabuhan Antarabangsa (IHMA), yang bertemakan ‘Shaping for a Better, Safer future’ yang berlangsung selama 4 hari di Ibu negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ketika ini Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menjadi antara pelabuhan tersibuk di dunia yang berfungsi sebagai pintu masuk utama negara ini.

"Saya optimis kedua-dua pelabuhan ini tidak akan mengalami kerugian yang terlalu teruk, berdasarkan radar, pengesanan serta sistem pemantauan yang kita ada, kecekapan akan ditingkatkan dengan teknologi sedia ada.

"Saya rasa dua pelabuhan ini akan menyumbang, sekitar RM25 juta bergantung kepada cabaran dan perkembangan terkini yang dihadapi antaranya krisis minyak, kenaikan harga minyak dan kekurangan komoditi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan IHMA Ke-13, di sini.

IHMA ke-13 yang julung kali diadakan di Asia ini disertai hampir 200 delegasi dari 30 negara.

Sementara itu, bercakap mengenai Perkembangan Projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bharu-Singapura, Wee berkata sehingga kini projek tersebut telah mencapai 17 peratus kerja-kerja pembinaan.

"Projek RTS ini perlu kita selesaikan menjelang 31 December 2026, makna kita akan beroperasi pada 1 Januari 2027. Ini adalah persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Singapura dan kita perlu lakukan.

"Apa-apa kerja perlu diselesaikan pada 2024 dan dua tahun bakinya adalah untuk kita buat kerja komunikasi, pemasangan untuk kita hendak pastikan keretapi itu dapat kita lakukan ujian pemeriksaan aspek keselamatan," katanya.

-Berita RTM-