MOT komited laksana promosi amalan selamat dalam operasi perkapalan, pelabuhan
Sejarah terlakar, KTMB kini merentasi sempadan Thailand hingga Laos  

Komposit kayu plastik (WPC) semakin tunjuk potensi

Pada Selasa    28-06-2022 10:24:00

Malaysia akan meneroka pasaran baharu industri perkayuan di luar negara khusus yang melibatkan produk berasaskan komposit kayu plastik (WPC).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, pasaran WPC di peringkat global dalam tempoh lima tahun mendatang disasar menunjukkan pertumbuhan yang mampan didorong peningkatan dalam segmen pembinaan dan bangunan terutama di Amerika Utara dan Eropah.

Jelas beliau, industri biokomposit negara juga semakin berkembang dengan produk-produk seperti papan lapis, venir, papan serpai, papan gentian telah menyumbang 19 peratus daripada keseluruhan nilai eksport kayu kayan negara pada tahun lalu.

Tambahnya, sehingga kini terdapat 176 buah kilang papan lapis, tujuh buah kilang papan serpai, tujuh buah kilang papan gentian dan tiga buah kilang WPC di seluruh negara untuk menghasilkan bahan mentah biokomposit bagi kegunaan tempatan malah untuk pasaran antarabangsa.

“Produk ini bukan sahaja boleh dikembangkan demi kebaikan di negara kita untuk pelbagai industri, ia juga boleh dieksport sebagai bahan pembinaan untuk rumah dan juga perabot.

“Ia masih baharu dan tumpuan perlu diberikan untuk domestik dahulu. Kita kena ada produk (WPC) yang setanding ataupun lebih baik sebelum kita promosikan kualiti produk WPC kita ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kiosk dan Pelancaran Manual Pembinaan Kiosk Daripada WPC di Pantai Cahaya Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Jeck Seng, pembangunan kemudahan kiosk dan kedai makanan serta minuman di Pantai Cahaya Negeri itu adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengaplikasikan bahan-bahan biokomposit yang mesra alam dalam projek-projek pembangunan infrastruktur pelancongan.

“Bahan binaan untuk pembinaan kiosk ini diperbuat daripada WPC yang mempunyai ciri-ciri kalis air, tahan serangan anai-anai, kitar semula, penyelenggaraan yang rendah dan penampilan imej kayu,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga memberitahu, pihak kementerian menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bersama syarikat swasta akan membangunkan rumah contoh untuk mangsa banjir iaitu Rumah FAST Rakyat di Pahang yang diperbuat daripada produk biokomposit dan kayu dan bahan binaan lain dengan sistem binaan industri (IBS) dan prafabrikasi.

Menurutnya, rumah berkonsepkan mesra alam dan mampu milik itu boleh dibina dengan anggaran kos sebuah rumah bernilai RM70,000 sehingga RM100,000.

– UTUSAN

Berita Berkatian

Nilai eksport koko dijangka lebih RM6.87 bilion

Perabot Malaysia dapat permintaan tinggi negara luar

Pengilang enggan beli buah kelapa sawit bakal dikenakan tindakan

Nilai biokomposit negara catat RM4.3 bilion tahun lepas: Jeck Seng

Malaysia pantau langkah Indonesia sekat eksport minyak sawit