Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) semalam jelas menunjukkan mereka tidak ikhlas dalam memberi cadangan malah berlandaskan emosi tanpa membuat kaji selidik terlebih dahulu terhadap isu yang ingin dibangkitkan.

SUBSIDI

Menyentuh tentang pemberian subsidi, sedarkah PH bahawa unjuran perbelanjaan subsidi setakat ini ialah RM77.3 bilion bagi tahun 2022, adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah?

Antara yang dibelanjakan untuk subsidi setakat 25 Jun 2022 ialah, RM37.3 bilion untuk subsidi petrol, diesel, LPG; minyak masak paket 1kg (RM4 bilion); bantuan kebajikan termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi termasuk bagi nelayan dan petani (RM14.6 bilion).

Apa yang lebih mengecewakan, jawatankuasa itu turut memberi cadangan kepada rakyat untuk bersama-sama melancarkan protes besar-besaran di 222 kawasan Parlimen seluruh negara dengan alasan kerajaan gagal membendung kenaikan kos sara hidup rakyat.

Jika PH benar-benar ikhlas ingin mencadangkan beberapa langkah bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup secara mendadak, kenapa tidak bertemu dan berbincang secara terus dengan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin? Bukankah ini saluran yang lebih tepat?

PH PERKENAL SEMULA SST, HARGA BARANG NAIK

Hakikatnya, kerajaan sedang cuba memperbanyakkan bantuan kepada rakyat setelah negara kekurangan hasil susulan pemansuhan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan diganti dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) - cukai lapuk serta sistem yang tidak telus.

Siapa yang mansuhkan GST semata-mata mahu meraih sokongan tanpa memikirkan akibatnya kepada negara?

Ramai pakar membidas tindakan kurang bijak kerajaan PH ketika itu kerana ianya menjejaskan pendapatan negara dan mengecilkan bantuan termasuk dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

Sepertimana kata Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Apurva Sanghi, GST menyumbang hampir dua kali ganda pendapatan cukai kepada kerajaan berbanding SST.

Dulu PH hasut rakyat membantah GST, semasa berkuasa mereka terpaksa memansuhkan pelaksanaan GST dan diganti dengan SST. Tidak lama kemudian, pemimpin mereka sendiri yang akui GST adalah sistem terbaik berbanding SST, lebih-lebih lagi apabila harga barang tidak turun walaupun GST tidak dilaksanakan lagi.

BAYAR RM320 JUTA SEBAB TANGGUH PROJEK INFRARAKYAT

Manakala cadangan PH supaya menangguhkan projek infrarakyat termasuk Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia (TR-Exchange) atas alasan tidak menguntungkan rakyat dalam jangka pendek dan panjang juga dilihat sebagai cadangan terkebelakang yang tidak membawa manfaat, malah mengundang lebih banyak masalah di masa hadapan.

Mungkin PH lupa, selepas mereka menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura ketika menjadi kerajaan dahulu menyebabkan Malaysia perlu membayar sebanyak S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sebagai pampasan terhadap kos ditanggung Kerajaan Singapura.

Bayangkan berapa banyak minyak masak atau ayam mentah dapat disalurkan kepada rakyat yang memerlukan dengan lebih RM320 juta itu?

Menangguh atau membatalkan projek infrarakyat bukanlah cadangan bijak sekaligus dapat menaikkan kos sara hidup, malah akan membuatkan negara mengalami lebih banyak kerugian. Pekerja yang terlibat akan hilang pekerjaan dan kadar pengangguran akan meningkat. Ini yang dimahukan PH?

Misalnya projek ECRL yang kini 30% siap, adakah PH tidak gembira dengan pembukaan 23,000 peluang pekerjaan? Atau PH suka melihat projek yang sudah berjalan ini terbengkalai dan merugikan negara?

Sebagai blok pembangkang, PH sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dengan pemikiran matang, profesional serta realistik. Bukannya menyemai kebencian dan menghasut rakyat turun ke jalan raya semata-mata untuk meraih sokongan demi kepentingan sendiri.

Senator Datuk Nicole Wong Siaw Ting
Ketua Pemuda MCA
28 Jun 2022

- MCA Online