28 November 2019

Kenyataan Media Jurucakap Pemuda MCA Sdr Alex Fong

Adakah sekolah luar bandar sedia melaksanakan sistem aliran pendidikan baharu? 

Pengubahsuaian Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) (Menengah Atas) pada tahun depan akan menyaksikan aliran sains dan sastera yang sedia ada digantikan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Sastera dan Kemanusiaan. Soalannya, adakah sekolah-sekolah menengah di seluruh negara bersedia untuk melaksanakan pertukaran drastik ini, terutamanya dari segi fasiliti dan kelayakan guru? 

Ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa pilihan pelajar bergantung kepada fasiliti dan peralatan sekolah masing-masing. Bukankah ini tidak adil bagi sekolah-sekolah luar bandar yang tidak memiliki kelengkapan yang secukupnya?

Kini, tinggal sahaja 5 minggu lagi untuk sesi persekolahan baharu. Pengumuman pada saat terakhir ini oleh Kementerian Pendidikan sudah tentu menyebabkan kekeliruan dan keresahan di kalangan guru-guru dan para pelajar Tingkatan 4.

Walaupun kami bersetuju bahawa sistem pendidikan negara ada ruang untuk diperbaiki, namun ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. Tempoh masa yang secukupnya perlu diberikan untuk membenarkan pihak sekolah dan pelajar membiasakan diri dengan pembaharuan ini, demi memastikan tiada sekolah yang tertinggal dan peluang sama rata boleh diberikan kepada semua pelajar.

Sementara kementerian-kementerian lain sedang berusaha merapatkan jurang di antara kawasan bandar dan luar bandar, kami amat kecewa apabila Kementerian Pendidikan dilihat membuat sebaliknya. Janganlah kerana kesilapan menterinya, sekolah-sekolah luar bandar ditinggalkan.

Kami mencadangkan tempoh setahun diberikan kepada pihak sekolah seluruh negara untuk membuat persiapan supaya pelaksanaan kurikulum baharu ini boleh dibuat dengan betul. Tempoh tersebut juga boleh digunakan untuk menaiktaraf atau melengkapkan sekolah-sekolah di luar bandar yang memerlukannya.

Lebih penting lagi, ia akan memberi masa kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3 mengenalpasti subjek atau aliran yang mereka mahu mempelajari apabila sampai ke Tingkatan 4, demi mengelak mereka membuat pilihan yang salah yang bakal menjejaskan masa depan mereka.

-MCA online-