Sektor pembangunan kereta api perlu dipertingkatkan dan diperluas kerana ia membawa kepada pertumbuhan ekonomi mampan kepada negara bagi tempoh jangka panjang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan sudah memperkenalkan beberapa projek pembangunan dalam sektor berkenaan antaranya MRT, LRT, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik (PLBE). 

"Kita menyasar pembangunan kereta api untuk tempoh jangka panjang dan bukan hanya lima tahun perancangan, ia mungkin lebih 10 tahun, 20 tahun.

"Perancangan bukan hanya membabitkan pelaksanaan projek di Semenanjung, tetapi juga beberapa lagi projek di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media selepas majlis penyempurnaan serah milik mesin kerja trek kepada Fajarbaru Builder Group Bhd, di sini, hari ini. 

Selari dengan matlamat itu, Tiong Lai berkata, kerajaan mengharapkan lebih banyak penyertaan peserta industri dalam sektor berkenaan-

""Kita memerlukan pelbagai pengendali dalam sektor pengangkutan kargo kereta api terutama menghubungkan antara pelabuhan.

"Pada masa ini, perkhidmatan penghantaran menerusi kargo hanya dimonopoli oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), justeru dengan adanya pembabitan pengendali lain ia akan mewujudkan persaingan yang sihat seterusnya memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat," katanya. 

Beliau berkata, sektor pembangunan kereta api sangat berpotensi dan ia adalah permulaan fasa baharu kepada Malaysia.      

"Jika di Korea dan Jepun, mereka sudah memiliki ramai operator yang terbabit dalam industri itu dan Malaysia ke arah pendekatan yang sama. 

Tiong Lai berkata, beberapa syarikat menyatakan minat untuk menjadi operator dalam sektor berkenaan dan mereka kini di peringkat akhir penilaian. 

"Mereka sudah mengadakan perbincangan dengan kementerian dan kami akan menelitinya sebelum membuat keputusan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan meneliti dakwaan Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) berhubung tiga lokasi di selatan Launtan Hindi yang berpotensi menjadi lokasi terakhir penerbangan Malaysia Airlines MH370.  

Katanya, maklumat itu perlu diteliti bagi memastikan kesahihan serta kredibiliti maklumat yang diterima. 

"Kita tunggu hasil daripada mereka yang pakar. Kita tidak boleh membuat sebarang andaian. 

"Kena tengok dulu sama ada ia fakta lama atau baharu atau sama ada fakta ini boleh meyakinkan dan dipertimbangkan oleh ketiga-tiga negara Malaysia, China dan Australia untuk melihat kembali keputusan bersama menggantungkan misi pencarian MH370," katanya.

INFO

  • Antara projek lain yang dibangunkan kerajaan ialah projek menaik taraf landasan kereta api Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan sejauh 550 kilometer.
  • Anggaran perbelanjaan RM800 juta dan dijangka siap pada 2020.

-Berita Harian-