17 Oktober 2019

Kenyataan Media Ketua Biro Komunikasi dan Diplomatik Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng

Pemilik kenderaan B40 dapat subsidi; Bagaimana pula dengan B40 yang tidak ada kenderaan?

Program Subsidi Petrol bersifat dwi-standard kerana ia meminggirkan golongan B40 yang tidak memiliki kereta, tetapi masih terpaksa mengharungi cabaran kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berpunca daripada kenaikan harga petrol.  

Apabila harga petrol meningkat, golongan B40 yang memiliki kereta boleh menerima bantuan serba sedikit sebanyak RM30 untuk kereta, atau RM12 untuk motosikal sebulan, namun bagi mereka yang berada dalam golongan sama tetapi tidak memiliki kenderaan persendirian, mereka tidak akan menerima apa-apa. Walaupun mereka tidak dibebankan dengan sebuah kereta atau motorsikal, namun mereka juga terpaksa mengharungi kenaikan tambang pengangkutan awam, di samping dibebani kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Oleh itu, kerajaan digesa memberi bantuan yang sama kepada semua golongan B40, walaupun mereka tidak memiliki kenderaan persendirian.

Dalam Bajet 2020, kerajaan dijangka meraih RM50.5 bilion daripada hasil petroleum pada tahun 2020. Peruntukan untuk PSP pula adalah RM2.2 bilion, atau hanya 4.35% jumlah hasil minyak. Berbanding dengan tahun ini, harga RON95 ditetapkan pada RM2.08 seliter untuk semua rakyat, dan kerajaan telah memperuntukkan RM173 juta seminggu untuk subsidi RON95, atau RM7 bilion setahun. Ini bermaksud PSP pada tahun depan akan menjimatkan kerajaan sebanyak RM4.8 bilion pada tahun depan. Namun begitu, ia juga bermaksud bahawa bukan semua golongan B40 akan menerima manfaat ini.

Ia harus ditekankan bahawa subsidi bukan penyelesaian jangka masa panjang. Sebaliknya, hasil minyak perlu digunakan untuk membiayai pendekatan yang lebih efektif seperti mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menyelesaikan masalah pengangguran, memberi bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah, di samping membangunkan dan menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam. Perancangan bandar juga harus ditujukan ke arah menggalakkan penduduk mengambil pengangkutan awam, dan sekali gus mengurangkan pergantungan mereka ke atas kenderaan persendirian. Ini bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra alam, tetapi juga mengurangkan beban golongan M40 dan B40.  

-MCA online-