
Langkah kerajaan untuk mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar memohon lesen kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikhuatiri membuka ruang kepada pihak-pihak yang berniat jahat untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat serta penyalahgunaan kuasa.
Ini juga bakal menjejaskan pembangunan negara kerana mana-mana penindasan terhadap kritikan dalam talian yang membina boleh menghalang kemajuan masa depan negara. Justeru itu kerajaan disaran memperhalusi dan menjelaskan dengan teliti dasar ini untuk mengelak ia disalahgunakan demi kepentingan peribadi sesetengah pihak.
Walaupun isu-isu seperti penipuan dalam talian, buli siber dan ancaman keselamatan, khususnya jenayah seksual terhadap kanak-kanak wajar diberi tumpuan, namun begitu, undang-undang yang sedia ada dilihat sudah memadai untuk menangani isu-isu berkenaan. Isu sebenar terletak pada penguatkuasaan, bukannya kekurangan atau kelemahan peraturan. Menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan lebih berkesan adalah lebih baik daripada memperkenalkan sekatan baharu untuk menutup kelemahan penguatkuasaan.
Dasar baharu ini merupakan satu bentuk kawalan terhadap platform media sosial. Kebanyakan negara tidak mengamalkan langkah sedemikian kerana ia secara tidak langsung boleh menyekat kebebasan bersuara dan menghalang kritikan membina terhadap kerajaan. Selain itu, ia juga boleh merosakkan kedudukan Malaysia di mata dunia dan menghalang pelaburan asing disebabkan oleh ketidakstabilan serta dasar yang tidak konsisten, seterusnya memberi kesan buruk kepada ekonomi dan imej Malaysia.
Daripada menambah sekatan, kerajaan sebaliknya harus meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam mengenai keselamatan internet yang terbuka tanpa sempadan dan bebas. Kerajaan juga digesa meningkatkan ketelusan dan komunikasi, memastikan penggubalan dasar yang adil. Mempertimbangkan semula keperluan lesen ini dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan adalah penting untuk kemajuan dan pembangunan Malaysia.
Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng
Naib Presiden MCA
Ahli Parlimen Tanjung Piai
29 Julai 2024
-Penerangan MCA