Cadangan membuka keahlian kepada masyarakat bukan Cina sebagai ahli bersekutu, adalah di antara tiga syor dalam pindaan perlembagaan MCA, yang akan dibentangkan ketika perhimpunan agung tahunan parti itu yang ke-66 pada Ahad ini.

Pindaan itu diharap membolehkan MCA meraih sokongan masyarakat bukan Cina, sekali gus menjadikan parti itu bukan lagi mewakili atau memperjuangkan kepentingan satu bangsa.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, mendakwa setiap tahun parti itu menerima permohonan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum termasuk India, Kadazan di Sabah serta Siam di Perlis dan Kedah untuk menjadi ahlinya.

Beliau berkata, pindaan perlembagaan itu membolehkan masyarakat bukan Cina mempunyai platform untuk menyokong perjuangan parti itu dan ia adalah satu perubahan sangat penting kepada MCA dalam menegakkan politik bukan hanya kepada sesuatu kaum sahaja.

“Seperti PAS yang memiliki Dewan Himpunan Penyokong, MCA juga wajar memiliki penyokong daripada bangsa lain kerana pengundi kita terdiri daripada berbilang bangsa.

“Sebelum ini kita bekerjasama dengan parti komponen, sekarang kita masih bekerjasama tetapi untuk membolehkan penyokong kita ada platform maka kita membuka keahlian bersekutu,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Sambil menafikan pindaan itu kerana MCA tidak yakin dengan sokongan pengundi Cina, Sin Woon, berkata berbeza dengan ahli biasa, ahli bersekutu tidak mempunyai kuasa untuk bertanding jawatan dalam parti seperti kelab penyokong di London dan New York.

“Kalau sampai satu tahap di mana ramai ahli bersekutu, kita akan wujudkan jawatankuasa atau kelab dengan ketua mereka akan dijemput menghadiri perhimpunan agung tahunan atau dialog dengan pemimpin tertinggi,” katanya.

Ditanya sama ada ahli bersekutu berpeluang diberi kerusi dalam pilihan raya, beliau berkata, politik serba berkemungkinan tetapi ia belum masa untuk dibincangkan ketika ini.

“Kita tidak boleh kata tidak akan hantar mereka atau akan hantar mereka. Kita tengok trend macam mana, sama ada ramai sangat ke yang hendak jadi ahli bersekutu sehingga ada banyak bakat atau peringkat ini permulaan belum panas, belum ramai ingin jadi ahli bersekutu, jauh lagi nak bincng kalau mereka akan diberi kerusi untuk bertanding, biar presiden parti tentukan,” katanya.

Di samping itu, MCA juga akan mengesyorkan pindaan perlembagaan parti bagi menurunkan had umur kemasukan ahli parti daripada 18 kepada 16 tahun, sejajar dengan pindaan membolehkan warga negara berusia 18 tahun menjadi pengundi secara automatik.

Turut dicadangkan ialah pindaan bagi membolehkan proses pemilihan parti hanya akan bermula enam bulan selepas berakhir Pilihan Raya Umum (PRU).

Sin Woon berkata, pindaan itu akan menyaksikan pemilihan boleh diadakan dalam tempoh lima tahun berbanding amalan biasa tiga tahun.

“Ini akan membolehkan parti disemua peringkat memberi fokus bagi memenangi PRU lebih daripada memenangi pemilihan parti. Fokus kita sepatutnya mendapat sokongan rakyat bukan sokongan ahli parti sahaja,” katanya.

Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada Ahad ini akan dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala perasmian perhimpunan agung sayap akan disempurnakan secara berasingan oleh pemimpin parti, Sabtu ini.

-Berita Harian-