PENJELASAN BERHUBUNG DAKWAAN MCA SOKONG PN-PAS

Selepas berakhirnya PRU-15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam Barisan Nasional (BN) bahawa BN patut bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU-15 iaitu, 'No DAP & No Anwar'.

Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN.

Manakala Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang pertama kali diadakan selepas PRU-15 telah pun memutuskan bahawa BN berkecuali dan kekal pembangkang.

Dalam mesyuarat itu, Presiden MCA juga telah mencadangkan kepada mana-mana pihak yang telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong mana-mana pihak hendaklah menarik balik serta-merta.

Ekoran daripada itu, BN telah mengarahkan semua Ahli Parlimen BN supaya segera menarik balik sebarang SD sokongan tersebut.

DATO' DR MAH HANG SOON
TIMBALAN PRESIDEN MCA
30 NOV 2022